
Hasil industri Jerman terus mencatat penurunan kecil selepas kejatuhan pada awal 2024
FRANKFURT – Krisis ekonomi yang berterusan menyebabkan industri Jerman kehilangan lebih 100,000 pekerjaan dalam tempoh setahun, menurut analisis firma audit dan perunding EY yang dikongsi dengan agensi Akhbar Jerman dpa.
Menjelang akhir suku pertama, industri Jerman menggaji seramai 5.46 juta orang – 1.8 peratus atau 101,000 lebih rendah berbanding setahun sebelumnya, menurut data daripada Pejabat Perangkaan Persekutuan.
Sejak 2019, jumlah pekerja telah menurun sebanyak 217,000 orang atau 3.8 peratus.
Pada 2018, industri Jerman mencatat rekod tertinggi dengan sekitar 5.7 juta pekerja.
Syarikat-syarikat industri kini berdepan tekanan hebat, kata Jan Brorhilker, rakan kongsi pengurusan di EY.
“Pesaingan agresif, terutamanya China menurunkan harga, pasaran jualan utama menjadi lemah, permintaan di Eropah kekal pada tahap rendah dan ketidakpastian yang besar menyelubungi keseluruhan pasaran Amerika Syarikat.
“Pada masa sama, syarikat berdepan kos tinggi – termasuk tenaga dan upah,” katanya.
Menurut Brorhilker, tiada tanda pemotongan pekerjaan akan berhenti dalam masa terdekat.
Hasil industri Jerman terus mencatat penurunan kecil selepas kejatuhan pada awal 2024, tambahnya.
Beliau menjangkakan sekurang-kurangnya 70,000 lagi pekerjaan industri akan hilang menjelang akhir tahun.
Malah katanya, syarikat-syarikat, khususnya dalam kejuruteraan mekanikal dan automotif, telah melaksanakan program pemotongan kos.
“Kita akan terus mendengar banyak berita buruk buat masa ini sebelum keadaan beransur pulih,” katanya lagi. – Bernama