81 ekor lembu korban di Titiwangsa sempena Aidiladha

81 ekor lembu korban di Titiwangsa sempena Aidiladha

KUALA LUMPUR: Sejumlah 81 ekor lembu disumbangkan kepada masjid, surau dan persatuan penduduk di kawasan Parlimen Titiwangsa bersempena sambutan Aidiladha tahun ini.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha tahunan bagi memastikan ibadah korban dapat dilaksanakan secara meluas oleh penduduk setempat.

“Hari ini saya bersama penduduk di Masjid Ar-Rahimah, salah satu kawasan dalam Parlimen Titiwangsa. Seperti biasa, setiap kali Aidiladha, kita akan adakan majlis korban di setiap kawasan.

“Saya menyumbang kira-kira 81 ekor lembu untuk diagihkan di seluruh masjid dan surau bersama persatuan-persatuan penduduk.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk Mahsuri Dagang Sdn Bhd yang turut menyumbangkan dua ekor lembu bersaiz besar jenis ‘lembu sado’,” katanya ketika ditemui media di Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan, hari ini.

Katanya, keseluruhan sumbangan itu akan diagihkan secara berperingkat kepada penerima di seluruh kawasan.

Sebahagian pelaksanaannya dijadualkan berlangsung hari ini dan esok manakala selebihnya akan disempurnakan sepanjang sambutan Aidiladha tahun ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bekerjasama dalam menjayakan program tahunan itu, yang menurutnya mencerminkan semangat gotong-royong dan keprihatinan masyarakat Titiwangsa.-UTUSAN

Scroll to Top