am@hmetro.com.my
Jerantut: “Semua anak tempat berkongsi suka duka. Susah senang kami bincang bersama, kini semua pergi serentak,” kata Aziz Jaafar, 50, bapa kepada empat anak termasuk menantu yang maut dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Jerantut – Maran awal pagi tadi.
“Kehilangan semua anak dan menantu adalah tamparan hebat buat kami sekeluarga namun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.
Dalam kejadian itu, Mohamad Ikmal Ishak, 26 dan isterinya Nur Arfiqah Aziz Jaafar (23) serta adiknya, Mohammad ZulkifliAziz Jaafar, 21; Mohamad Azizul Hakimi Aziz Jaafar, 19 dan Nurul HazwaniAziz Jaafar, 17, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Menurutnya, keempat-empat anaknya bersama menantu sangat teruja dan gembira untuk pergi beraya ke Jerantut kerana itulah kali pertama mereka menjejakkan kaki ke Kampung Paya Gunung, Jerantut.
“Mereka memang suka bergurau dan berseloroh semasa sendiri, sehari sebelum bertolak, mereka sempat membeli makanan ringan di kedai dua ringgit, konon sebab nak berjalan jauh dan bimbang lapar.
“Sebelum kejadian, saya sempat menerima video terakhir daripada anak ketiga, menunjukkan Zul (anak ketiga), muntah akibat mengikut jalan yang bengkang-bengkok, kami turut tergelak tengok video itu, tak sangka itu video terakhir… lepas tu terus senyap,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jerantut, hari ini
Katanya, dia mula risau apabila panggilan kepada anak nombor dua, tiga dan empat tidak dijawab sejak jam 11 malam.
“Mereka sepatutnya tiba di Jerantut sekitar jam 2 pagi, setelah bertolak dari rumah di Bota pada jam 5 petang.
“Saya cuba hubungi mereka beberapa kali tapi tiada jawapan, mula rasa tak sedap hati,” katanya.
Aziz kemudian dimaklumkan oleh kakak iparnya yang tiba di Kampung Paya Gunung lebih awal dengan kereta lain dan memaklumkan kejadian itu.
“Mereka cakap anak-anaknya terbabit kemalangan, setengah jam kemudian, barulah mereka maklum semua sudah tiada,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd