Hakim Danish hampiri kemenangan di Aragon

Hakim Danish hampiri kemenangan di Aragon

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli hampir meraih kejuaraan namun terpaksa berpuas hati di tempat kedua sekali lagi dalam perlumbaan pertama pusingan ketiga Kejuaraan Red Bull Rookies Cup (RBRC) di Litar Aragon, sebentar tadi.

Pada perlumbaan itu, menyaksikan ia berlangsung begitu sengit dengan beberapa pelumba bertukar-tukar kedudukan pendahulu, namun Hakim Danish mempamerkan aksi matang apabila menunggu masa tepat memintas dan mengambil alih kedudukan pertama pada dua pusingan terakhir.

Pelumba muda berusia 18 tahun itu menunjukkan prestasi yang cukup konsisten sepanjang perlumbaan apabila mendahului namun pelumba tuan rumah, Brian Uriarte bijak mencari ruang sebelum memintas di selekoh terakhir untuk sampai ke garisan penamat sebagai juara di halaman sendiri.

Seorang lagi pelumba Sepanyol, David Gonzalez, melengkapkan podium di tempat ketiga.

Meskipun berada di kedudukan kedua pada perlumbaan hari ini tetapi Hakim Danish berjaya mengukuhkan kedudukan keseluruhan RBRC musim ini selepas turut cemerlang dalam pusingan terdahulu di Jerez dan Le Mans.

Perlumbaan kedua pusingan Aragon akan berlangsung esok dan Hakim Danish dijangka sekali lagi menjadi tumpuan utama, selepas muncul naib juara di perlumbaan pertama dan kedua di Jerez dan Le Mans.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top