Tragedi bot terbalik: 6 mangsa tidak pakai jaket keselamatan

Tragedi bot terbalik: 6 mangsa tidak pakai jaket keselamatan

am@hmetro.com.my

Klang: Polis mengesahkan enam individu warga tempatan yang terbabit dalam tragedi bot terbalik di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, di sini semalam tidak memakai jaket keselamatan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati bot itu dipandu oleh pemiliknya yang juga lelaki berusia 50 tahun.

“Kesemua mangsa tidak memakai jaket keselamatan. Sebab itu apabila berurusan di laut, kita harus pakai kerana keselamatan adalah penting.

“Kadang-kadang apabila berlaku sedikit kecuaian ia akan menyebabkan kemalangan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Vijaya Rao mengingatkan orang ramai terutama nelayan yang keluar ke laut supaya mengutamakan keselamatan.

Sementara itu, beliau berkata polis merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung tragedi itu.

“Keterangan diambil daripada mangsa yang terselamat iaitu remaja lelaki berusia 17 tahun dan dua pekerja Royal Selangor Yacht Club.

“Seorang daripada mereka menghubungi talian kecemasan 999 dan kemudian meminta bantuan rakan sekerja untuk hadir bagi membantu menarik bot yang tenggelam,” katanya.

Mengulas lanjut, Vijaya Rao memaklumkan bot yang berjaya diapungkan itu akan dibawa balik ke Pangkalan Polis Marin untuk siasatan lanjut terutamanya dari sudut teknikal.

Tambah beliau, siasatan yang dijalankan ketika ini mendapati tiada unsur jenayah yang berlaku dalam kejadian itu.

“Kertas siasatan dibuka berhubung tragedi ini mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membawa bot dengan cuai atau dalam keadaan gopoh,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan tiga terkorban, manakala dua lagi yang juga pasangan suami isteri masih hilang apabila bot dinaiki mereka terbalik dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Mangsa belum ditemui itu dikenal pasti sebagai Gan Hon Tat, 32, dan isteri, Careen Man, 29, yang kedua-duanya berasal dari Klang Utama.

Mereka yang terkorban pula ialah anak lelaki pasangan suami isteri itu, Darren Gan, 3; Cheu Son Hin, 50; dan Fong Yong Sen, 29. Ketiga-tiga mangsa itu ditemui di dalam bot terbabit.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Chang Yan Qin Alvin, 17, terselamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top