Tragedi Putra Heights: 'Kami akan terus bersuara hingga kami didengari'

Tragedi Putra Heights: 'Kami akan terus bersuara hingga kami didengari'

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Subang Jaya: “Kami tidak akan membiarkan tragedi ini dilupakan. Kami akan terus bersuara sehingga kami didengari. Kami tidak meminta simpati kami mahu maruah, penghormatan dan keadilan,” Abdul Ghani Abdul Aziz.

Abdul Ghani, 57, adalah penduduk Putra Harmoni Topaz, 57, di sini yang juga mangsa terjejas tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, 1 April lalu.

Menurutnya, tragedi itu memusnahkan kehidupan mereka dalam sekelip mata yang memusnah rumah, ketenangan dan ada antara kalangan penduduk tinggal sehelai seepinggang akibat kejadian itu.

“Sebagai mangsa yang masih bertahan, kami masih berjuang bukan saja untuk membina semula kehidupan, tetapi menyembuhkan luka emosi dan ketidakstabilan kewangan yang berpunca daripada tragedi yang sepatutnya boleh dielakkan itu.

“Daripada Aidilfitri hingga Aidiladha, waktu yang sepatutnya dipenuhi kegembiraan dan keberkatan bertukar menjadi hari-hari penuh duka, ketakutan, dan kehilangan tempat tinggal,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dia mendakwa berlaku ketidakseimbangan dalam tindak balas iaitu sistem saluran paip diberi keutamaan untuk dipulihkan segera, manakala mangsa yang terjejas ditinggalkan untuk menyelamatkan diri sendiri (pemulihan kehidupan pasca tragedi).

Dakwanya, keutamaan lebih diberikan untuk mengalirkan semula gas daripada memulihkan maruah dan kehidupan mangsa.

“Kami menyeru kepada pemilik aset, agensi kerajaan dan semua pihak berkuasa berkaitan agar mengingati kami bukan nombor (sebaliknya) kami adalah keluarga, anak-anak dan warga emas.

“Trauma kami adalah nyata. Keperluan kami sama ada dari segi psikologi mahupun kewangan adalah mendesak. Keadilan, belas ihsan, dan tanggungjawab tidak boleh terus ditangguhkan,” katanya.

Abdul Ghani berkata, justeru pihaknya menuntut pampasan kewangan yang segera dan telus untuk semua mangsa yang disahkan termasuk untuk rumah yang musnah, kehilangan harta benda, dan bantuan sewa rumah.

Katanya, selain itu akses kepada perkhidmatan kaunseling trauma dan sokongan psikologi untuk semua keluarga terjejas, khususnya kanak-kanak dan warga emas.

“Kami menuntut pengakuan secara terbuka dan permohonan maaf rasmi daripada pemilik aset serta menuntut pelan pemulihan yang jelas dan bertanggungjawab yang meletakkan mangsa sebagai keutamaan bukan saluran paip,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 455 keluarga terkesan dalam insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights.

Kebakaran itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top