Tanah terbiar 'berbuah emas'

Tanah terbiar 'berbuah emas'

am@hmetro.com.my

Langkawi: Bermula sebagai aktiviti mengisi masa lapang, satu pasangan suami isteri berjaya mengubah tanah terbiar menjadi dusun durian premium menerusi pelaburan berjumlah RM750,000.

Malah, kawasan tanaman seluas 2.1 hektar dikenali sebagai Langkawi Durian King Orchard (LDKO) itu juga menjadi dusun durian premium pertama di pulau peranginan berkenaan.

Rosmaini Mohamad Sallih, 46, berkata dusun yang diusahakan sejak 2019 itu mampu menghasilkan pengeluaran secara purata tiga tan durian setiap musim dan menjadi tumpuan ramai.

“Saya dan isteri (Rozilawati Mangsor, 38) melabur kira-kira RM750,000 untuk membangunkan dusun ini.

“Alhamdulillah, usaha kami membuahkan hasil apabila dusun ini kini mempunyai 200 pokok durian premium.

“Projek ini bermula selepas kami berasa bosan berada di rumah dan mahu mengisi masa lapang,” katanya ketika ditemui di dusunnya di sini, semalam.

Usahawan bimbingan Jabatan Pertanian dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) itu berkata, antara jenis durian yang terdapat di dusunnya ialah Musang King, Duri Hitam, Tekka dan Kim Hong.

“Saya tidak menyangka tanah yang dulunya terbiar dan dipenuhi semak-samun kini bertukar menjadi dusun durian yang boleh dibanggakan. Sebelum ini, saya pernah cuba tanam pisang bersama rakan, tapi gagal.

“Dari situ saya dan isteri mula membersihkan kawasan ini sedikit demi sedikit dengan niat menjadikannya dusun durian berskala besar, sekali gus menambah jumlah produk agropelancongan di pulau ini,” katanya.

Katanya, dia dan isteri mempunyai perancangan menjadikan dusun itu lebih berdaya maju termasuk mempunyai bangsal berhawa dingin untuk keselesaan pengunjung.

“Setakat ini, selain pengunjung tempatan, dusun kami turut dikunjungi pelancong Singapura yang mengetahuinya menerusi perkongsian netizen di media sosial,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top