Pelantikan ketua masyarakat Cina, kampung di Johor berdasarkan merit, bukan tekanan politik

Pelantikan ketua masyarakat Cina, kampung di Johor berdasarkan merit, bukan tekanan politik

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pelantikan ketua masyarakat Cina dan kampung bagi penggal 2025-2027 di Johor dibuat berdasarkan merit serta kelayakan, dan bukan atas permintaan mana-mana ketua bahagian atau Exco kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah berkata, proses pelantikan dibuat melalui tapisan dan saringan yang teliti oleh pihak pejabat daerah sebelum diangkat kepada kerajaan negeri.

“Senarai nama itu juga akan dinilai semula mengikut markah merit serta semakan latar belakang komuniti setempat. Tidak timbul isu ia dibuat atas permintaan ketua bahagian atau Exco.

“Kita menilai secara muhibah dan munasabah, termasuk perkhidmatan dan pengalaman yang dimiliki calon, serta memastikan ia bukan demi kepentingan peribadi. Ketua kampung adalah untuk komuniti setempat,” kata kepada media selepas menghadiri Program Ibadah Korban Perdana Dewan Undangan Negeri Larkin di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Hairi yang juga Naib Ketua Pemuda Umno berkata, perkara itu tidak wajar dibangkitkan kerana boleh menjejaskan kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“(Berhubung dakwaan lantikan hanya membabitkan wakil MCA), kerajaan Johor ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) serta pembentukan Kerajaan Perpaduan. Maka isu ini tidak sepatutnya timbul.

“DAP juga memahami perkara ini, walaupun mereka memiliki lebih banyak kerusi berbanding PKR dan Amanah. Sebaliknya, semua pihak perlu menjernihkan hubungan kerjasama supaya tidak dimanipulasi pihak tertentu,” katanya.

Terdahulu, Naib Ketua Cabang PKR Johor Bahru, Gerald Tang Mun Hon menyatakan bantahan keras terhadap senarai pelantikan Ketua Masyarakat Cina dan Kampung Baru bagi penggal akan datang yang tidak membabitkan wakil Pakatan Harapan (PH).

Gerald turut menggesa kerajaan negeri serta pihak berkuasa berkaitan meneliti semula pelantikan itu bagi memastikan perwakilan yang adil dan sejajar dengan semangat kerajaan campuran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top