Penyertaan Orang Asli dalam ATM masih rendah

Penyertaan Orang Asli dalam ATM masih rendah

nfazlina@nstp.com.my

Jeli: Kementerian Pertahanan menyifatkan pembabitan masyarakat Orang Asli dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga kini masih rendah.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, kesedaran di kalangan mereka amat rendah sama ada untuk menyertai ATM secara tetap atau askar wataniah.

Menurutnya, berikutan itu pihaknya akan menggerakkan lebih banyak program kesedaran di perkampungan Orang Asli sama ada di Perak mahupun di Kelantan.

“Memang fokus kita sekarang untuk tingkatkan penyertaan Orang Asli dalam askar wataniah. Disebabkan itu kita akan perbanyakkan program di lokasi yang bilangan Orang Asli ramai.

“Sebelum ini, kita tumpu di Perak, selepas ini kita tumpu di Kelantan iaitu kawasan Orang Asli Gua Musang dan Jeli. Insya-Allah menerusi program berterusan, ia sedikit sebanyak akan meningkatkan dan menarik minat mereka untuk menyertai askar wataniah dan badan pertahanan.

“Walaupun tiada angka sasaran, kita yakin jumlah akan meningkat akhir tahun ini jika program berterusan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Peduli Veteran Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rual, di sini, hari ini.

Adly berkata, penyertaan masyarakat Orang Asli dalam askar wataniah adalah penting kerana dapat membina jati diri menerusi latihan yang diadakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top