PETALING JAYA: Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong wajar dipertanggungjawabkan atas kegagalan menghantar delegasi Malaysia yang tidak lengkap semasa Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) Ke-113, tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bersama Khas (JBK), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon berkata, ia susulan kenyataan Steven Sim yang mengelirukan orang ramai mengenai MTUC tidak mempunyai barisan kepemimpinan.
Beliau menjelaskan, kepemimpinan semasa MTUC adalah JBK dan persediaan untuk pilihan raya MTUC yang akan diadakan pada 2 dan 3 Ogos depan berjalan dengan baik.
“Menteri tidak mempunyai hak untuk menentukan kepemimpinan MTUC mahupun campur tangan dalam urusan dan pentadbiran MTUC.
“MTUC adalah pertubuhan yang paling terbesar mewakili pekerja di Malaysia. Seperti yang dikehendaki dalam Perlembagaan Pertubuhan Buruh Antarabangsa [ILO], MTUC bertanggungjawab untuk memilih delegasi pekerja, manakala tugas menteri hanyalah untuk menyerahkan nama-nama perwakilan pekerja yang dikemukakan oleh MTUC.
“Malaysia juga telah disenarai pendek dalam senarai negara untuk perbincangan berkenaan pelaksanaan standard ILO, Konvensyen 98,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Steven Sim mengetuai delegasi Kementerian Sumber Manusia bagi menghadiri Persidangan ILC anjuran ILO di Geneva, Switzerland yang berlangsung dari 2 Jun hingga 13 Jun ini.
Solomon berkata, secara jelas pihak menteri telah menyalahgunakan seluruh jentera kerajaan termasuk Jabatan Peguam Negara bagi menutup tindakan yang tidak wajar.
“Hakikatnya, menteri telah gagal memastikan wakil pekerja negara ini didaftarkan di ILC.
“Tindak-tanduk itu bagi mengelakkan laporan analisis undang-undang buruh Malaysia yang menonjolkan diskriminasi terhadap kesatuan serta kegagalan- kegagalan lain yang melanggar Konvensyen 98 ILO daripada dibincangkan di ILC ini,” katanya.
Beliau berkata, pihak menteri sepatutnya menghubungi dan berbincang dengan JBK sebaik sahaja menerima jemputan daripada ILO, jika benar ikhlas dalam memastikan pekerja diwakili di ILC.
“Namun begitu, beliau tidak berbuat demikian pada ketika itu dan kini memberikan pelbagai alasan. Malaysia perlu mempunyai delegasi tiga pihak yang lengkap dan kukuh dalam ILC ini.
“Beliau sepatutnya menumpukan perhatian kepada isu-isu yang penting untuk Malaysia dalam ILC ini yang akan menambah baik undang-undang buruh bagi perhubungan industri dan pembangunan negara, sebaliknya telah menumpukan perhatian dalam menafikan kedudukan sah MTUC dalam ILC ini,” katanya. – UTUSAN