Lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika kait mangga

Lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika kait mangga

am@hmetro.com.my

Papar: Seorang lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik ketika mengambil buah mangga dalam kejadian di Kampung Bambangan, di sini, petang tadi.

Difahamkan, mangsa Ahajah Abdul Musa, 42, yang berada di atas pokok, menggunakan galah besi untuk menjolok buah di hujung dahan sebelum terkena kabel elektrik berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Penolong Penguasa Bomba, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.01 petang.

Katanya, setibanya di lokasi, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas pokok mangga dipercayai terkena renjatan elektrik.

“Pasukan bomba bertindak menurunkan mangsa dari atas pokok menggunakan tangga dan tali penyelamat selepas bekalan elektrik diputuskan oleh Sabah Electricity.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top