yusmizal@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Inisiatif pihak berkuasa dalam memastikan tidak ada pelaksanaan haji secara menipu adalah antara topik dibincangkan dua mufti Malaysia dengan Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi Sheikh Dr Abdul Latif bin Abdul Aziz Al Sheikh kelmarin.
Ia dikongsikan bersama Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Mohd Sukki Othman dan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir di Mina yang mengadakan kunjungan ke kementerian itu.
Dr Mohd Sukki berkata, kunjungan itu adalah sebahagian daripada Program Tetamu Penjaga Dua Tanah Suci Khadim Haramayn Raja Salman bin Abdul aziz al Saud bagi haji dan umrah yang dilaksanakan kementerian berkenaan.
“Menteri mengalu-alukan kedatangan kami, sambil mendoakan agar memperoleh haji yang mabrur dan usaha yang diberkati serta diterima Allah segala amalan mereka. “Beliau menegaskan jemputan kepada tokoh-tokoh Islam terkemuka ini mencerminkan keprihatinan dan perhatian kepimpinan negara terhadap khidmat kepada Islam dan usaha memperkukuh hubungan dengan para ulama dan pendakwah umat Islam,” katanya.
Menurutnya, antara yang disentuh termasuklah sistem kawalan pelaksanaan haji tahun ini adalah yang paling ketat serta menyekat jemaah yang tiada permit daripada memasuki Mekkah di musim haji.
Katanya, ia seterusnya dapat memberikan keselesaan pada jemaah dalam melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.
“Kami turut dimaklumkan kira-kira 1.6 juta orang yang mengerjakan haji secara sah pada tahun ni dengan sekatan ke atas mereka yang masuk secara tak sah.
“Sebelum ini yang masuk secara tak sah sahaja mencecah 2.5 juta jemaah,” katanya.
Mohd Sukki berkata, beliau dan Dr Anhar turut menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kepimpinan kerajaan Arab Saudi atas layanan dan penjagaan yang diberikan kepada tetamu Allah.
Selain itu penghargaan turut dizahirkan di atas tahap penganjuran yang cemerlang yang memudahkan mereka melaksanakan ibadah haji dengan tenang dan mudah.
© New Straits Times Press (M) Bhd