Antonsen, Se Young juara Terbuka Indonesia

Antonsen, Se Young juara Terbuka Indonesia

Jakarta: Pemain badminton nombor tiga dunia, Anders Antonsen meraih kejuaraan Terbuka Indonesia pertama dalam kariernya selepas menundukkan wakil Taiwan, Chou Tien Chen pada aksi final perseorangan lelaki hari ini.

Pemain Denmark berusia 28 tahun itu menampilkan aksi bertenaga di Istora Senayan, menewaskan pemain ranking ketujuh dunia itu 22-20, 21-14 dalam tempoh 60 minit, sekali gus menjuarai kejohanan kategori Super 1000 itu buat kali pertama.

Antonsen mengawal permainan dengan kemas selepas memenangi set pertama secara sengit, sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan selesa di set kedua.

Dalam final perseorangan wanita pula, jaguh Korea Selatan yang juga pemain nombor satu dunia, An Se Young, bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan pemain China, Wang Zhi Yi.

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 itu mencatat keputusan 13-21, 21-19, 21-15 dalam tempoh 81 minit, sekali gus menambah koleksi kejuaraan Terbuka Indonesia kali kedua selepas kali pertama dimenanginya pada 2021.

“Ia perlawanan yang pelik dan sukar, tetapi saya berjaya menemui semula keyakinan diri dan tidak berputus asa,” katanya kepada wartawan menerusi jurubahasa.

Sementara itu, pasangan beregu campuran dari Perancis, Thom Gicquel dan Delphine Delrue, mencipta sejarah apabila menundukkan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran, 21-16, 21-18.

Kemenangan itu bukan sahaja memberi kejuaraan kepada pasangan ranking ke-10 dunia itu, malah menjadikan mereka juara Super 1000 pertama dari Perancis dalam sejarah badminton dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top