hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa susulan isu sekatan pergerakan sedangkan dia tidak dikenakan perintah sedemikian.
Fahmi atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin dalam kenyataan yang dikongsikan di Facebook (FB) berkata, dia sudah membaca jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menyemak isu larangan ke luar negara tersebut.
Dia mendakwa kenyataan polis pula menuding jari kepada pihak Imigresen.
“Kononnya tiada sebarang sekatan rasmi daripada kerajaan dan berlaku kekeliruan semasa proses semakan di pintu keluar negara.
“Aku tak nampak mana-mana pihak kerajaan yang berani ambil tanggungjawab atas kesilapan korang yang menyebabkan hak kebebasan bergerak aku disekat.
“Korang senang saja cakap ‘tiada sekatan rasmi’ tetapi realitinya, aku tetap kena sekat, semalam. Aku tetap tak dapat ke luar negara. Aku tetap dinafikan hak aku sebagai rakyat,” katanya dalam kenyataan itu, di sini, hari ini.
Dakwanya, dia hanya rakyat biasa yang pihak berkenaan membuat sekatan (keluar dari negara), disusahkan dan merugikan masa serta wangnya namun kemudian ‘cuci tangan’ dan tidak mengaku kesalahan.
Katanya, jika rakyat yang membuat salah pihak berkenaan tidak mengambil masa lama untuk diheret ke mahkamah dan dakwanya kini giliran rakyat mengheret pihak berkuasa ke mahkamah.
“Kerajaan dan pihak berkuasa bukan kebal. Rakyat patut berani melawan. Rakyat tak patut takut pada kerajaan, kerajaan yang patut takut pada rakyat.
“Korang selalu suruh aku ‘gunakan saluran yang betul’, kan? Okay, kita jumpa di mahkamah,” katanya.
Media hari ini melaporkan, tiada sekatan pergerakan dikenakan ke atas Fahmi seperti digembar gemburkan di media sosial.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Fahmi Reza hanya disenarai dalam senarai pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Media turut melaporkan, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay diarahkan untuk menyemak isu larangan ke luar negara dikenakan ke atas aktivis dan pereka grafik terbabit.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini, berkata arahan berkenaan dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semalam, Fahmi melalui perkongsian di FB memaklumkan dilarang keluar negara untuk menghadiri konsert di Singapura menerusi penerbangan dijadualkan berlepas pada jam 9.35 pagi.
Fahmi dilapor berkata, dirinya tidak dibenarkan keluar negara atas arahan Bukit Aman dan perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Fahmi turut memaklumkan larangan ke luar negara itu dikenakan ke atasnya, seminggu selepas dilarang masuk ke Sabah susulan lukisan mengkritik Yang di-Pertua Sabah, Tun Musa Aman.
© New Straits Times Press (M) Bhd