
Senator Miguel Uribe. Foto AFP
BOGOTA – Seorang calon Presiden Colombia cedera selepas ditembak ketika menghadiri acara kempen di ibu negara pada Sabtu.
Mangsa, Miguel Uribe, 39, yang juga seorang senator kanan pembangkang dari parti sayap kanan Democratic Center, ditembak ketika sedang berucap di hadapan penyokongnya di barat Bogota.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan detik cemas itu apabila beberapa das tembakan dilepaskan, menyebabkan orang ramai panik.
Uribe kemudiannya kelihatan terbaring di atas sebuah kereta dengan kesan darah di bajunya, sambil dibantu oleh beberapa individu.
Kerajaan Colombia di bawah pimpinan Presiden Gustavo Petro mengecam serangan itu sebagai “serangan terhadap demokrasi dan kebebasan bersuara.”
“Perbuatan ini bukan sahaja menyasarkan individu, tetapi juga proses politik yang sah di negara ini,” kata Pejabat Presiden dalam satu kenyataan.

Miguel Uribe menerima rawatan dalam ambulans selepas ditembak di Bogota. Foto AFP
Datuk Bandar Bogota, Carlos Galan, mengesahkan bahawa Uribe kini menerima rawatan kecemasan dan penembak telah berjaya ditahan.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Pedro Sanchez, mengumumkan ganjaran sebanyak AS$700,000 (RM77 juta) ditawarkan bagi maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan dalang serangan tersebut.
Uribe sebelum ini mengumumkan hasratnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Colombia pada tahun 2026.
Partinya, yang diketuai oleh bekas Presiden Alvaro Uribe, merupakan blok pembangkang utama kepada pentadbiran semasa.
Kepimpinan tentera dan polis Colombia turut mengadakan mesyuarat tergempar bagi merangka strategi keselamatan susulan insiden tersebut. – AFP