am@hmetro.com.my
Kuching: Sarawak memperkenalkan model pertanian mampan sebagai pendekatan untuk mengurangkan kebergantungan kepada lembu dan makanan ternakan import.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, inisiatif itu bertujuan menangani harga daging lembu yang tinggi di negeri ini sehingga menjadi yang termahal di negara ini.
Beliau berkata, harga tinggi yang mencecah RM95 sekilogram itu disebabkan oleh kebergantungan besar Sarawak terhadap lembu dan makanan ternakan yang diimport, terutamanya dari Australia.
“Sarawak kini mengimport lembu, termasuk yang kita ternak oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di Australia.
“Cukai eksport yang dikenakan oleh Australia agak tinggi dan pembayaran dibuat pula dalam dolar Australia, ini yang meningkatkan kos,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ibadah Korban di Masjid Al-Kawthar di Gedong dalam Bahagian Samarahan, hari ini.
Abang Johari berkata, antara strategi baharu dalam kaedah pertanian mampan itu ialah melaksanakan sistem penternakan fidlot dan bukannya ragut terbuka secara tradisional.
“Ini membolehkan lembu diternak menggunakan makanan tempatan yang diperoleh daripada sisa pertanian yang dicampur dengan rumput napier sekali gus akan meningkatkan kesihatan dan kualiti lembu.
“Saya pernah ke Lubok Antu dan melihat potensi penggunaan sisa ladang untuk menghasilkan biojisim yang boleh ditukar menjadi makanan haiwan dan ini memberi jaminan kita tidak perlu lagi mengimport makanan ternakan,” katanya.
Menurutnya, model pertanian mampan di bawah pelan penternakan moden itu sudah pun diuji oleh beberapa agensi berkaitan.
“Apabila kita mengeluarkan makanan haiwan tempatan dan mempergiatkan penternakan dalam keadaan terkawal, kerajaan berharap akhirnya kita dapat meningkatkan bekalan daging tempatan dan menurunkan harga ke tahap yang lebih berpatutan,” katanya.
Jumaat lalu, akhbar ini melaporkan daging lembu di Sarawak antara termahal di negara ini dengan harga tertinggi mencecah RM95 sekilogram.
Bahagian paling mahal itu ialah daging manis (fillet), manakala daging batang pinang berharga RM85 sekilogram dan bahagian daging biasa RM65.
Berdasarkan senarai harga di laman web kepenggunaan Manamurah.com, harga purata daging lembu di Sarawak iaitu RM64 sekilogram jauh tinggi berbanding negeri lain.
Kelantan mencatat harga purata terendah iaitu RM27.72 sekilogram, Perlis (RM30), Terengganu (RM30.29), Sabah (RM35), Kedah (RM35.50), Perak (RM35.72) danPahang (RM36.65).
Pulau Pinang pula RM38.65, Negeri Sembilan (RM38.79), Melaka (RM39.23), Selangor (RM39.28), Johor (RM39.30) Putrajaya (RM41) dan Kuala Lumpur (RM48.53).
© New Straits Times Press (M) Bhd