Merab 'The Machine' tamatkan O'Malley di pusingan ketiga

Merab 'The Machine' tamatkan O'Malley di pusingan ketiga

Newark: Jaguh Georgia, Merab Dvalishvili, membuktikan dominasi mutlak dalam kelas bantamweight apabila menewaskan Sean O’Malley menerusi kuncian pada pusingan ketiga di acara utama UFC 316, awal pagi tadi.

Dalam pertarungan ulangan itu, Dvalishvili (20-4 MMA) menampilkan aksi bertenaga dengan asas gusti kukuh yang menyukarkan O’Malley sebelum mengakhiri pertarungan pada minit ke-4:42 dalam pusingan ketiga menerusi modified choke, kemenangan ke-13 berturut-turut buatnya.

Disaksikan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dari tepi gelanggang, Dvalishvili mengukuhkan reputasinya sebagai antara petarung bantamweight terbaik dalam sejarah UFC dan sedia mempertahankan gelaran menentang Cory Sandhagen (18-5 MMA), yang menang empat daripada lima pertarungan terakhir.

“Awak memang hebat. Ayuh, kita bertarung,” kata Dvalishvili mengajak Sandhagen untuk perebutan gelaran seterusnya.

O’Malley (18-3 MMA) sebelum ini tewas kepada Dvalishvili menerusi keputusan sebulat suara September lalu dan kehilangan gelaran.

Selepas pertarungan, dia mengakui kekalahan ini hanyalah satu halangan kecil dalam kariernya.

“Saya akan bangkit semula, terima kasih kepada semua yang hadir,” kata O’Malley.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top