Normah ditemukan selamat atas bukit

Normah ditemukan selamat atas bukit

am@hmetro.com.my

Baling: Wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu ditemui selamat di atas bukit berhampiran rumahnya di Kampung Tembak B, Mukim Teloi Kanan, Kuala Ketil di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, Normah Wateh, 60, ditemui dalam keadaan baik pada jam 3.53 petang tanpa sebarang kecederaan.

Beliau berkata, warga emas itu ditemui penduduk kampung dan kemudian dipujuk ahli keluarganya untuk dibawa turun dari bukit berkenaan.

Katanya, dia turut diberi makan kerana lapar sejurus dia dijumpai.

“Jarak dari rumah mangsa dengan bukit berkenaan adalah kira-kira 1.5 kilometer.

“Keluarga mangsa akan menguruskannya untuk dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkhairi berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tamat pada jam 4.50 petang.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita warga emas yang mempunyai masalah kemurungan dan skifrozenia dilaporkan hilang sejak empat hari lalu selepas keluar dari rumahnya di Kampung Tembak B, Mukim Teloi Kanan, Kuala Ketil pada 5 Jun lalu.

Bagaimanapun, operasi SAR mencarinya dilakukan hari ini sejurus pihak bomba menerima panggilan berhubung kehilangan warga emas itu pada jam 8.03 pagi tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top