
Harimau Malaya akan menentang Vietnam pada Selasa ini.
SKUAD Harimau Malaya dijangka mendapat sokongan padu ketika menentang Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini.
Ia selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan tiket untuk aksi berkenaan bagi kategori grandstand dan premium telah habis terjual.
Berbaki dua hari lagi sebelum perlawanan, tiket untuk kategori terbuka masih boleh dibeli oleh penyokong setia Harimau Malaya.
“Tiket grandstand dan premium telah habis terjual. Ayuh penyokong Harimau Malaya, tiket tempat duduk terbuka RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak) masih boleh dibeli.
“Jom kita penuhkan Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini,” kata FAM dalam satu kenyataan pada Ahad.
Untuk rekod, sehingga semalam sebanyak 29,400 tiket telah terjual dan ia dijangka terus meningkat sehingga hari perlawanan pada Selasa.
Skuad Harimau Malaya berdepan tugas getir perlu melakar kemenangan ke atas Vietnam dalam aksi Kumpulan F bagi mencerahkan peluang kerana hanya juara kumpulan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.