Di lebuh raya ketika memandu kereta dari Johor Bahru menghala ke Bangsar South, Kuala Lumpur terpandang satu papan tanda di kawasan Seremban tertulis Bandar Ainsdale Labu.
Sering kali penulis yang lalu di situ keliru dengan makna perkataan Ainsdale Labu ini kerana hendak dikatakan bahasa Inggeris ada perkataan labu, hendak dikatakan bahasa Melayu ada perkataan Inggeris.
Penulis memberhentikan kenderaan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil mencari makna perkataan itu kerana perasaan yang ingin tahu yang mendalam. Selepas membaca di internet dan membuat carian punca namanya Ainsdale Labu, penulis berpuas hati tahap sederhana dengan penjelasan mengapa ia dinamakan sedemikian.
Bandar Ainsdale dan Bandar Hamilton yang dibangunkan di Negeri Sembilan sebenarnya merujuk kepada nama asal iaitu Ladang Ainsdale serta Ladang Hamilton.
Memang nama asalnya itu, mungkin orang tidak perasan, kawasan perindustrian Hamilton, dahulu dipanggil estet Hamilton, biasa bagi orang di situ. Bandar Ainsdale, dahulunya Ladang Ainsdale.
Begitu gamaknya, barulah penulis faham. Sambil-sambil itu mencari makna di internet mengenai Bangsar South kerana kebetulan hendak berjumpa dengan anak bekerja di sana.
Sinonimnya kita dapat melihat dari mata yang bersinar Kuala Lumpur kini ibarat London kerana banyak nama jalan dan bangunan di ibu negara menggunakan bahasa Inggeris dan tidak banyak menggunakan bahasa Melayu.
Bahkan, perjalanan panjang dalam menuju destinasi sesuatu kawasan atau tempat di Malaysia sekalipun, kita dapat melihat secara dekat bukan hanya jalan dan bangunan, kawasan taman perumahan lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris sejak kebelakangan ini.
Situasi itu menyebabkan kita hairan bagaimana perkara itu boleh berlanjutan memandangkan setiap projek pembangunan sudah pasti perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.
Kadangkala tempat itu, walaupun ada nama dalam bahasa Melayu tapi ditukar kepada bahasa Inggeris seperti Bangsar South.
Saya rasa south itu dalam bahasa Melayu adalah selatan. Apa salahnya kalau kita panggil Bangsar Selatan.
Apabila diungkit sejarah Kuala Lumpur, ia berasal daripada perkataan ‘lumpur’, namun sudah terkenal sehingga ke peringkat antarabangsa.
Di Malaysia, memang kita tidak boleh nafikan perlunya nama kebaratan atau Inggeris untuk menunjukkan kelahiran sejarah di sini untuk diganti atau dikenang seperti terdapat beberapa tempat dinamakan sempena nama Inggeris berikutan peninggalan era kolonial.
Contohnya, Port Swettenham kini dikenali sebagai Pelabuhan Klang, tetapi Port Dickson masih mengekalkan nama diberikan semasa pemerintahan British.
Penamaan tempat ini sering kali mencerminkan sejarah dan pengaruh budaya yang telah lama bertapak di negara ini. Namun, terdapat usaha untuk mengembalikan nama tempat kepada asal usulnya yang lebih lokal dan bermakna dalam konteks budaya Malaysia.
Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memupuk identiti nasional dan menghargai warisan budaya yang kaya. Walaupun perubahan nama tempat boleh menjadi proses yang rumit dan emosional, ia memberi peluang untuk pendidikan serta pemahaman lebih mendalam tentang sejarah dan kepelbagaian budaya di Malaysia.
Nama tempat di Malaysia yang mempunyai makna dalam bahasa Melayu sering mencerminkan keunikan geografi, sejarah atau budaya setempat. Sebagai contoh, Kuala Lumpur yang bererti ‘pertemuan lumpur’ menggambarkan asal usul kota di pertemuan dua sungai dan kawasan lombong timah.
Putrajaya pula diambil daripada nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra. ‘Jaya’ yang bererti kejayaan, mencerminkan harapan untuk kemajuan negara. Tempat seperti Langkawi yang bermaksud ‘helang berkarat’ dan Kuching yang bererti ‘kucing’turut menarik perhatian dengan asal usul nama yang unik serta cerita di sebaliknya.
Nama ini bukan sahaja memberi identiti kepada lokasi itu, tetapi turut memperkaya warisan linguistik dan budaya Malaysia. Semua itu menjadi saksi bisu kepada sejarah panjang dan berwarna-warni yang membentuk negara ini sejak zaman dahulu.
Dengan demikian, nama tempat dalam bahasa Melayu bukan sekadar penanda lokasi, tetapi cerminan daripada jiwa dan esensi Malaysia yang sebenarnya.
Menamakan tempat dengan bahasa Inggeris di Malaysia boleh menimbulkan beberapa masalah.
Pertama, hal ini dapat mengaburkan identiti budaya dan sejarah tempatan yang terkandung dalam nama asli.
Nama tempat sering memiliki makna mendalam terkait dengan bahasa dan sejarah setempat dan penggunaan nama Inggeris dapat menghilangkannya.
Kedua, perkara ini boleh menyebabkan kebingungan dalam kalangan penduduk tempatan yang mungkin tidak fasih berbahasa Inggeris.
Ketiga, trend ini dapat dilihat sebagai bentuk kolonialisme budaya apabila pengaruh asing mendominasi dan menggantikan tradisi tempatan.
Keempat, dalam konteks hukum dan pentadbiran sejagat, perubahan nama rasmi tempat akan menimbulkan masalah dalam dokumentasi dan komunikasi rasmi kelak.
Oleh kerana itu, penting mempertimbangkan kesan daripada menggunakan nama tempat dan menjaga keseimbangan antara modenisasi dan pelestarian identiti budaya.
Kesimpulannya, perlu ada keseimbangan menamakan nama tempat bersesuaian dengan persekitaran dan tidak salah menggunakan nama Inggeris jika ia berkaitan dengan sejarah tempat itu untuk dikenang serta dihormati.
Namun bagi kawasan baharu, perlulah nama kemalaysiaan patut dan mesti dibuat atau diamalkan supaya menjadi satu identiti bangsa kita sendiri.
Penulis pensyarah, pakar motivasi dan penceramah bebas
© New Straits Times Press (M) Bhd