Munich, Jerman: Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo, tidak dapat menahan air mata selepas mengetuai negaranya merangkul gelaran Liga Negara-Negara Eropah buat kali kedua apabila menewaskan juara bertahan, Sepanyol 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 dalam masa tambahan pada aksi final yang mendebarkan, awal pagi tadi.
Jaringan antarabangsa ke-138 Ronaldo membawa perlawanan ke penentuan penalti, dengan kegagalan Alvaro Morata menyempurnakan sepakan penalti menjadi detik penentu ketika Ruben Neves menyempurnakan sepakan kemenangan yang mencetuskan suasana penuh emosi, tatkala kapten veteran itu tidak mampu menahan sebak.
“Menang untuk Portugal sentiasa istimewa.
“Saya memiliki banyak kejuaraan bersama kelab, tetapi tiada yang lebih bermakna daripada menang untuk Portugal.
“Ia air mata gembira, tanggungjawab yang sudah disempurnakan,” katanya.
Kemenangan dramatik 5-4 Sepanyol ke atas Perancis pada separuh akhir Khamis lalu menyaksikan skuad kendalian Luis de la Fuente mengekalkan rekod tanpa kalah yang bermula sejak Mac 2023 sebelum beraksi di pentas final di Munich.
Sepanyol kelihatan berada di landasan untuk menjulang satu lagi trofi selepas kejayaan di Kejohanan Eropah tahun lalu, apabila Martin Zubimendi meledak jaringan keduanya bersama skuad kebangsaan pada minit ke-21.
Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila pemain pertahanan Portugal, Nuno Mendes menyamakan kedudukan hasil gerakan cantik yang dimulakan oleh Ronaldo.
Umpanan sempurna daripada pemain tengah Sepanyol, Pedri, membantu Mikel Oyarzabal yang menjaringkan gol kemenangan ketika menentang England di final Euro tahun lalu, meletakkan Sepanyol kembali di hadapan sebelum tamat babak pertama.
Pertembungan antara jiran Iberia itu dianggap sebagai pertembungan ‘lama dan baharu’ antara Ronaldo, 40, pemenang lima kali Ballon d’Or dan bintang remaja Sepanyol, Lamine Yamal.
Ketika Yamal yang turut tersenarai sebagai calon utama anugerah individu paling berprestij tahun ini gagal mencipta impak ketara, Ronaldo pantas merebut peluang apabila menyamakan kedudukan dari jarak dekat pada minit ke-62.
Ronaldo terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan di penghujung permainan dan kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol kemenangan dalam masa tambahan, sekali gus menyaksikan perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti dengan Portugal menyempurnakan kelima-lima sepakan mereka untuk muncul juara.
“Perincian kecil boleh jadi penentu, dan perlawanan ini saya rasa amat seimbang. Ketika menuju ke penghujung masa tambahan, saya fikir kami sudah melakukan cukup untuk mengelak penalti.
“Malangnya, ia ditentukan menerusi sepakan penalti, dan pada malam ini, mereka sedikit lebih baik serta berkesan daripada kami,” kata jurulatih Sepanyol, De La Fuente.
© New Straits Times Press (M) Bhd