Kemenangan Portugal dibayangi insiden kematian penonton

Kemenangan Portugal dibayangi insiden kematian penonton

Munich, Jerman: Seorang penonton maut selepas terjatuh dari tempat duduk penonton ketika aksi final Liga Negara-Negara antara Portugal dan Sepanyol di Munich, awal pagi tadi, maklum UEFA.

Mangsa dilaporkan terjatuh dari aras tengah ke kawasan tempat duduk media di aras bawah ketika permainan memasuki masa tambahan separuh masa pertama.

Petugas paramedik dan polis segera bergegas ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa.

Jurucakap UEFA memaklumkan berlaku satu “kecemasan perubatan” dan mengesahkan bahawa seorang penonton “meninggal dunia” ketika perlawanan berlangsung.

Wakil kedua-dua pasukan menyatakan rasa dukacita mereka terhadap insiden berkenaan sejurus tamat perlawanan yang menyaksikan Portugal menewaskan Sepanyol 5-3 menerusi penentuan penalti selepas aksi sengit terikat 2-2.

Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente menyampaikan ucapan takziah pada sidang media selepas perlawanan.

“Saya ingin mengucapkan takziah yang sedalam-dalamnya atas kematian seorang penyokong. Kejadian ini mengingatkan kita tentang apa yang benar-benar penting dalam hidup,” katanya.

Wakil pasukan Portugal turut menyuarakan rasa simpati dengan menyatakan bahawa insiden itu “membayangi kegembiraan kemenangan” mereka.

Ketua jurulatih Portugal, Roberto Martinez turut menyifatkan berita tersebut sebagai “sangat menyedihkan”.

Penonton terbabit dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira lapan meter. Bagaimanapun, punca sebenar kejadian atau bagaimana mangsa boleh terjatuh masih belum dapat dipastikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top