PEMAIN Manchester United, Alejandro Garnacho dilaporkan bakal meninggalkan kelab itu musim panas ini selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk berpisah secara rasmi.
Menurut laporan portal berita antarabangsa, beberapa kelab dilaporkan sedang cuba untuk mendapatkan khidmat pemain sayap berusia 20 tahun itu, termasuk tiga pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Ketegangan antara Garnacho dan pengendali pasukan,Ruben Amorim menjadi titik tolak perpisahan ini apabila pemain Argentina itu dikatakan telah diberikan kata dua untuk mencari kelab lain oleh Amorim.
Insiden tersebut dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati Garnacho selepas hanya dimasukkan sebagai pemain gantian dalam 20 minit terakhir perlawanan akhir Liga Europa menentang Tottenham bulan lalu yang menyaksikan United tewas.
“Saya bermain setiap pusingan hingga ke final, tapi hari ini hanya diberi 20 minit. Saya tak tahu… Saya akan cuba nikmati musim panas dan lihat apa yang berlaku selepas ini,” katanya selepas perlawanan tersebut tamat.
Dalam kenyataan rasmi kelab yang dikeluarkan baru-baru ini, perpindahan Garnacho kini hampir pasti dan beberapa kelab mula menunjukkan minat untuk mendapatkan tandatangannya.
Fabrizio Romano mendedahkan tiga kelab EPL kini amat berminat dengan Garnacho yang juga mempertimbangkan untuk terus kekal beraksi di England.
United dikatakan meletakkan tanda harga sekitar £70 juta (RM402 juta) terhadap pemain tersebut, namun kelab yang berminat tahu Red Devils tidak mempunyai pilihan lain selain menjual.
Chelsea dan Napoli antara kelab yang dikaitkan sejak awal lagi dengan pemain antarabangsa Argentina itu, sementara dua lagi kelab EPL yang berminat masih belum didedahkan.
Dalam sidang media terbaru, gelagat pengurus Amorim yang dilihat menutup muka sambil tersenyum ketika Amad Diallo ditanya mengenai masa depan Garnacho turut menjadi tular di media sosial sekali gus menguatkan spekulasi perpisahan itu.
Malah, Garnacho turut mencetuskan kontroversi ketika jelajah pasca musim United apabila dia didakwa menolak seorang peminat yang cuba bertanya soalan selain memuat naik kenyataan di Instagram meluahkan rasa lega kerana jelajah itu sudah berakhir.