MELAKA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) mengukuhkan kehadirannya di seluruh negara dengan pembukaan cawangan ke-70 yang terletak di Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC), Ayer Keroh, Melaka.
Cawangan baharu yang mula beroperasi pada 28 April lalu itu menerima sambutan memberangsangkan dengan lebih 400 pelanggan baharu dan mencatatkan jumlah transaksi melebihi RM4.9 juta dalam tempoh singkat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pembukaan cawangan ini mencerminkan komitmen berterusan Bank Muamalat dalam memperluas rangkaian perkhidmatan dan menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.
“Cawangan itu bukan sekadar premis tetapi menjadi komitmen menyokong pertumbuhan ekonomi negeri Melaka dengan lokasi strategik di tengah pusat pentadbiran dan perindustrian boleh memberi nilai tambah kepada usahawan tempatan, komuniti setempat dan agensi.
“Hari ini merupakan satu lagi detik bersejarah bagi Bank Muamalat dengan perasmian cawangan Melaka di MIBC, Ayer Keroh yang telah memulakan operasi pada 28 April yang lalu,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh hari ini.
Cawangan ini menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk akaun deposit, pembiayaan perumahan dan peribadi, Ar-Rahnu, pelaburan emas, unit amanah, takaful, serta bertindak sebagai ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), zakat dan Tabung Haji.
Lokasi strategik di pusat pentadbiran negeri memberikan kelebihan.
Katanya, Bank Muamalat turut komited menyokong inisiatif pembangunan seperti program keusahawanan Islam, pemerkasaan ekonomi B40, transformasi digital luar bandar dan transaksi tanpa tunai, khususnya di kawasan pelancongan dan pedalaman.
“Ini adalah sebahagian usaha kami membina ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama Pelanggan’. Kami akan terus menambah baik capaian dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat Melaka,” katanya.
Pada akhir tahun lalu, Bank Muamalat turut membuka dua cawangan baharu di Jasin dan Alor Gajah serta pusat Ar-Rahnu di Sungai Udang. – UTUSAN