am@hmetro.com.my
Pasir Gudang : Seorang ibu tunggal bimbang memikirkan nasib anak perempuannya yang didakwa dilarikan seorang lelaki berusia 49 tahun sejak 28 April lalu di Taman Batu Pahat dekat Batu Pahat, Johor.
Pembantu Kantin Sekolah, Soh Shui Ping, 35 berkata, anak perempuan tunggalnya Kwee Yi Xuan, 15, itu berkenalan dengan lelaki tersebut ketika sambutan Tahun Baharu Cina, pada Januari lalu.
Katanya perkenalan anak sulung dari empat beradik itu dengan lelaki berkenaan bermula ketika lelaki itu datang ke kediaman mereka untuk membaiki kenderaan bapanya.
“Selepas itu, saya difahamkan lelaki itu beberapa kali datang ke sekolah anak untuk berjumpa, sehingga pihak sekolah memaklumkan anak saya kerap ponteng.
“Namun pada 28 April, anak perempuan saya melarikan diri dan tidak menjawab panggilan telefon atau mesej,” katanya pada sidang media di Pejabat Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor di Masai, di sini hari ini.
Soh berkata, anaknya seorang yang baik dan pelajaran di sekolah juga memuaskan, selain tidak pernah meninggi suara.
Namun, katanya, kelakuan anaknya berubah selepas berkenalan dengan lelaki dikenali sebagai Lok Kwang Leng.
“Saya sudah membuat laporan polis di Balai Polis Batu Pahat pada 28 April lalu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan polis berhubung kejadian itu.
“Sehingga kini mangsa belum ditemui,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd