am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Filem animasi, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini mencetus fenomena tersendiri apabila semakin menghampiri sasaran kutipan sebanyak RM60 juta.
Dalam tempoh 13 hari tayangan, filem ini berjaya mencatat kutipan sebanyak RM40.6 juta sekali gus menjadi filem animasi tempatan paling laris.
Pengarahnya, Usamah Zaid Yasin berkata, kejayaan siri dan filem Ejen Ali sebelum ini membantu menarik minat penonton untuk ke pawagam menonton EATM2.
“Daripada maklum balas penonton, EATM2 disukai kerana ia disampaikan dengan kualiti animasi serta visual yang baik, hasil audio yang ‘on-point’ serta cerita menarik yang boleh dihayati oleh kanak-kanak dan orang dewasa.
“Selain itu, saya percaya faktor pemasaran massa bersama rakan produksi kami, Primeworks Studios, ‘timing’ dan nasib juga memainkan peranan yang penting dalam menjayakan sesebuah filem di pawagam,” katanya.
Usamah turut bersyukur kerana EATM2 mendapat sambutan luar biasa ketika ini.
“Alhamdulillah, saya juga sangat berterima kasih kepada semua ahli pasukan yang saban hari berusaha keras untuk mempromosikan filem ini sejak tayangan bermula.
“Mereka berani mencuba pelbagai cara promosi baharu untuk memenangi hati penonton dan bagi saya ia komponen yang amat penting untuk melengkapkan lagi strategi pemasaran filem yang kami hasilkan.
“Tidak lupa juga pada peminat-peminat tegar yang memberikan sokongan dan dorongan terus menerus, terima kasih kerana memilih filem kami untuk anda sekeluarga,” katanya.
Terdahulu, Usamah berkata, EATM2 akan ditayangkan di beberapa negara Asia Tenggara seperti Singapura, Indonesia dan Kemboja secara berperingkat.
EATM2 terbitan Wau Animation dengan kerjasama Primeworks Studios itu sebelum ini ditayangkan serentak di pawagam Malaysia dan Brunei Darussalam pada 22 Mei lalu.
EATM2 adalah kesinambungan daripada kejayaan filem Ejen Ali The Movie yang ditayangkan pada 2019 dan mencatat kutipan lebih RM30 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




