am@hmetro.com.my
Gerik: Polis akan menubuhkan satu pasukan khas yang terdiri daripada pakar teknikal pelbagai agensi bagi menyiasat kemalangan maut di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pasukan penyiasat itu akan membabitkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Jabatan Kimia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri serta pihak polis.
“Kita akan membentuk satu pasukan teknikal khas untuk menjalankan dan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin supaya kita dapat membawa pemandu ke muka pengadilan.
“Jadi, saya ingin menasihatkan orang ramai, sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan ini, sila tampil ke balai polis atau berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan bagi membantu siasatan.
“Elakkan daripada menyebarkan maklumat tidak sahih melalui media sosial atau media massa kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.
“Kita mahu proses siasatan berjalan lancar dan kertas siasatan dapat disiapkan segera supaya kes ini dapat dibawa ke mahkamah secepat mungkin,” katanya selepas melawat mangsa yang dirawat di Hospital Gerik, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohd Yusri menggesa mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan yang meragut 15 nyawa, termasuk pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), supaya tampil membantu siasatan.
Beliau turut memberi jaminan siasatan yang dijalankan akan meliputi semua sudut.
Ditanya sama ada pemandu bas mempunyai rekod kesalahan lalu lintas sebelum ini, Mohd Yusri berkata perkara itu masih di peringkat awal siasatan.
“Kita akan menyiasat semua aspek, latar belakang pemandu, rekod terdahulu, aktiviti sebelum kejadian dan sejarah pekerjaan beliau.
“Setakat ini, saya hanya boleh katakan kita akan melengkapkan kertas siasatan dan menyemak semua sudut supaya pendakwaan dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan,” katanya.
Berhubung rekod penyelenggaraan bas yang terbabit, beliau berkata, pasukan khas akan mengumpul semua laporan berkaitan, termasuk maklumat mengenai bas, keadaannya dan pemandu.
“Itu sahaja maklumat yang boleh saya kongsikan buat masa ini,” katanya.
Yusri turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika memandu, lebih-lebih lagi hari ini adalah hari terakhir kempen Ops Lancar bertujuan memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang pulang ke rumah sepanjang musim perayaan.
“Kita berharap semua orang selamat sampai ke destinasi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




