Kuala Lumpur: Dalam meniti arus pemodenan, negara kita memerlukan generasi yang celik STEM seiring dengan perkembangan teknologi global untuk memastikan kemajuan yang mampan dan berdaya saing. Tidak dinafikan harapan negara dalam melahirkan pelajar yang meminati STEM mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap bidang sains dan teknologi. Tetapi isu ini menjadi lebih serius apabila bilangan pelajar yang mengikuti bidang sains semakin menurun terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.
Adakah ini disebabkan oleh kekurangan fasiliti dan kepakaran dalam pelaksanaan aktiviti STEM di sekolah menyebabkan timbulnya stigma negatif terhadap aliran sains dan membawa kepada kemerosotan penglibatan pelajar terhadap aktiviti STEM? Sehubungan itu, usaha dan kerjasama daripada pihak luar seperti universiti perlulah diberi penekanan agar dapat mengatasi masalah ini.
Banyak sekolah di kawasan luar bandar berdepan dengan masalah kekurangan makmal sains yang lengkap, peralatan robotik dan komputer moden. Pelajar hanya belajar sains secara teori sahaja tanpa aktiviti praktikal yang menyeronokkan. Walhal, ketiadaan fasiliti ini juga menyebabkan pelajar tidak berpeluang menyertai pertandingan STEM atau projek inovasi berbanding sekolah di kawasan bandar mempunyai fasiliti yang lengkap.
Kerjasama Sekolah dan Universiti: Karnival Sains sebagai Solusi
Bagi mengatasi isu ini, kerjasama antara sekolah dan universiti perlu diperkukuhkan. Penglibatan pihak universiti dalam aktiviti berteraskan STEM di sekolah seperti karnival STEM dapat menyalurkan kepakaran dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran pedagogi, serta pengalaman dalam bidang sains dan teknologi.
Sebagai contoh, UiTM Shah Alam menganjurkan Karnival STEM 2024 di SMK Telok Panglima Garang dengan pelbagai aktiviti interaktif seperti pembinaan model jambatan dan demonstrasi penapisan air. Selain itu, Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga menjalankan Hari Bioteknologi sempena Karnival SENADI 2024 bersama dengan SMK Badin, Tuaran. Karnival ini memperkenalkan kepada pelajar aplikasi praktikal sains dan teknologi dalam kehidupan harian. Tambahan pula, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan Karnival Kimia Malaysia Johor 2024 dengan aktiviti menarik seperti ceramah ‘Meet the Scientist’ dan demonstrasi makmal. Dimana, karnival ini mampu menarik lebih 500 penyertaan peserta dari pelbagai sekolah.
Kerjasama dengan universiti dapat menyalurkan kepakaran dan mendedahkan pelajar kepada pembelajaran sains secara praktikal dan menyeronokkan serta pelajar dapat berinteraksi dengan pakar dan pelajar universiti sekaligus dapat membuka minda terhadap peluang kerjaya dalam bidang STEM. Karnival ini juga dapat meningkatkan motivasi dan minat terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.
Dengan kerjasama yang kukuh antara sekolah dan institusi pengajian tinggi, diharapkan lebih banyak program sebegini dapat dilaksanakan khususnya di kawasan luar bandar. Diharapkan juga program ini dapat melahirkan generasi yang celik STEM dan berdaya saing di peringkat global.
Ditulis Oleh:
NOR NASHARINA NAJWIEN BINTI TAJUL ARIF
NURFATIN SAKINAH BINTI KHAIRUL ANWAR ZAMANI
Pelajar Sarjana Pendidikan Biologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris
DR. MOHD MOKHZANI BIN IBRAHIM
Pensyarah Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris



