Spurs disaran beli Sane ganti Son Heung-min

Spurs disaran beli Sane ganti Son Heung-min

BEKAS pemain Tottenham Hotspur, Jamie O’Hara, menggesa kelab itu untuk mendapatkan pemain sasaran Arsenal dan Chelsea, Leroy Sané, sebagai pengganti Son Heung-min dalam jendela perpindahan musim panas ini.

Pemain sayap Bayern Munich itu dijangka menjadi ejen bebas pada akhir bulan ini dan kini menarik minat Tottenham Hotspur, Arsenal serta Chelsea yang dikatakan berminat mendapatkan khidmat pemain berusia 29 tahun tersebut.

Tottenham dilaporkan yakin akan memenangi persaingan mendapatkan Sané, yang dikatakan sudah berpindah ke London bersama isterinya sebagai persediaan menyertai kelab baharu.

O’Hara berpendapat bahawa Sane merupakan pengganti ideal kepada Son, yang dijangka akan meninggalkan kelab sebelum bermulanya musim 2025–2026.

“Saya mahu melihat Sané sertai Spurs. Dia ialah pemain kelas dunia yang telah memenangi segalanya. Kenapa kita tidak mahukan dia di kelab?

“Mungkin dia pernah mengalami beberapa kecederaan sepanjang kariernya, tetapi jangan kata dia bukan pembelian yang baik untuk Spurs.

“Terdapat banyak posisi yang perlu ditambah baik oleh Tottenham. Bagi saya, keutamaan tertinggi Spurs ialah mendapatkan pemain sayap kiri.

“Saya rasa Son Heung-min tidak lagi mampu memberi impak seperti dahulu dan dia sedang menuju ke penghujung kariernya di Spurs.

“Spurs akan beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan, dan ini peluang besar untuk mereka berbelanja, merekrut pemain berkualiti serta kekal bersaing di Eropah,” katanya.

Dilaporkan bahawa Spurs mahu menjana dana perpindahan dan merombak skuad, menyebabkan Heung-min telah dimasukkan dalam senarai jualan.

Son Heung-min, yang boleh beraksi sebagai sayap kiri atau penyerang tengah, kini menarik minat beberapa kelab dari Arab Saudi.

Pemain berusia 32 tahun itu hanya mempunyai baki satu tahun dalam kontraknya, dan Spurs lebih rela menjualnya sekarang bagi mendapatkan bayaran perpindahan berbanding kehilangannya secara percuma pada tahun 2026.

Scroll to Top