Nahas pelajar UPSI: 'Adib anak yang baik, suka minta maaf' – bapa

Nahas pelajar UPSI: 'Adib anak yang baik, suka minta maaf' – bapa

am@hmetro.com.my

Bachok: “Adib (Muhammad Adib Hazim, 21) anak yang sangat baik dan suka meminta maaf,” kata Halim Sidik, 58, bapa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak.

Menurutnya, Adib tinggal dengan bekas isterinya Rus Lina Abd Razak, 69, di Terengganu manakala dirinya tinggal di Bachok, Kelantan.

“Namun Adib masih berhubung dan sering datang ke rumah. Kali terakhir kami berjumpa ketika Aidiladha kedua apabila Adib pulang ke sini.

“Seperti biasa, Adib mudah bersalaman dan menyapa orang, malah dia akan minta maaf banyak kali ketika bersalaman yang menjadi tabiatnya.

“Dia anak yang sangat baik, saya sangat senang dengannya, tidak ada perbuatan dia yang menyebabkan saya sakit hati,” katanya ketika ditemui di Kampung Pangkalan China, di sini, hari ini.

Halim berkata, dia mengetahui berita menimpa arwah daripada salah seorang anaknya dan turut ke Masjid Hadhari, Jerteh, Terengganu bagi menerima ketibaan jenazah Adib malam tadi.

Katanya, mereka sekeluarga terkejut dengan berita itu memandangkan petangnya Adib sempat menghabiskan masa bersama sempena Aidiladha.

“Dia datang ke rumah saya jam 12 tengah hari, saya sempat ke kenduri sepupu bersama Adib dan petangnya mereka pulang ke Terengganu dengan malam hari pula Adib menaiki bas untuk kembali ke UPSI,” katanya.

Halim berkata, tidak ada sikap pelik ditunjukkan arwah kecuali meluahkan rasa kecewa kerana mahu makan bubur pulut hitam di majlis kenduri kahwin.

Katanya, anak ke enam daripada tujuh beradik itu memang bercita-cita mahu menjadi guru.

“Saya difahamkan ketika kemalangan, arwah masih hidup dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, memang sukar nak terima (kematian) anak yang kita jumpa dalam keadaan sihat, kemudian dimaklumkan meninggal dunia, namun saya katakan pada diri Tuhan sayang ke abang (Adib),” katanya menahan sebak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top