hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 10 substrategi di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 berjaya diselesaikan sehingga 3 Jun lalu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata, kejayaan pelaksanaan 10 substrategi oleh tujuh Ketua Agensi Peneraju termasuk SPRM ini diumumkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Prestasi NACS 2024-2028 Bersama Agensi Peneraju.
Menurutnya, sebanyak lima substrategi berjaya diselesaikan pada tahun 2024, manakala lima lagi substrategi berjaya diselesaikan sehingga 3 Jun 2025.
“Antaranya ialah memasukkan minggu tema mengenai etika, nilai-nilai murni dan antirasuah dalam kalendar akademik di sekolah; menambah baik pelaksanaan Kursus Integriti dan Antirasuah di institusi pengajian tinggi; menjamin pelaksanaan Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) oleh Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan di peringkat kementerian, jabatan dan agensi; memantapkan tatakelola dan fungsi Audit Dalam di Perkhidmatan Awam dan menggubal perundangan bagi mengawal selia pintu masuk bagi menjamin keselamatan sempadan negara.
“Selain itu, meningkatkan sistem saringan dalam pengambilan kerja penjawat awam; memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen; mempertingkatkan tatacara pelaporan SPRM dengan mengemas kini status aduan kepada pengadu; menganjurkan sesi libat urus dengan penggubal undang-undang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri secara tahunan dan mengkaji kebolehlaksanaan pelaksanaan Perjanjian Pendakwaan Tertunda dalam kerangka perundangan Malaysia,”katanya.
Menurut kenyataan itu, pencapaian pelaksanaan NACS kini boleh diakses orang ramai melalui laman web rasmi d-NACS, yang berfungsi sebagai papan pemuka digital interaktif.
“Ia memaparkan status semasa bagi setiap substrategi yang telah dilaksanakan, sekali gus memperkukuh prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban kepada rakyat.
“Kejayaan pelaksanaan 10 substrategi ini adalah satu manifestasi komitmen dan kecekapan agensi-agensi terlibat dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Katanya, ia juga memperlihatkan iltizam Kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus serta membanteras rasuah secara menyeluruh, sistematik dan konsisten, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Bagi memastikan kelangsungan pelaksanaan serta keberhasilan setiap substrategi NACS, Ketua Pesuruhjaya SPRM menyeru semua Ketua Agensi Peneraju untuk memperkukuh penyelarasan dalaman melalui Unit Integriti masing-masing.
“Beliau turut menekankan keperluan untuk menjalin kolaborasi erat antara bahagian-bahagian dalam kementerian dan jabatan bagi memastikan pendekatan yang menyeluruh dalam perlaksanaan strategi ini,”katanya.
NACS 2024–2028 yang diluncurkan olehPerdana Menteri pada 7 Mei 2024 menggariskan 60 substrategi, merangkumi pencegahan rasuah secara sistematik, pengukuhan tatakelola serta pelaksanaan mekanisme pemantauan dan pelaporan yang berstruktur.
Inisiatif ini bukan sahaja menjurus kepada penambahbaikan institusi, malah bertujuan memperkukuh integriti perkhidmatan awam dan memperluas kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.
Pencapaian NACS juga menjadi antara faktor utama kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
© New Straits Times Press (M) Bhd