georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pempengaruh yang kini pelakon, Farihin Arnia, 25, cuma diberi tempoh setahun saja oleh bapanya untuk membuktikan kemampuan dan mencuba nasib memulakan kerjaya di sini.
Farihin yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah berkata, sekiranya tidak berhasil, dia harus pulang ke kampung halaman, namun bersyukur restu keluarga menjadi pendorong kejayaannya.
“Saya memang mendapat restu daripada ayah untuk ke Kuala Lumpur kerana ingin kejar minat dalam lakonan. Tapi dia bagi masa setahun untuk saya buktikan kemampuan.
“Jika dalam tempoh itu saya tidak berjaya dia suruh pulang ke Sabah semula. Alhamdulillah rezeki saya sampai awal, tidak sampai setahun di sini saya mendapat pengurusan yang baik.
“Semuanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan setakat ini,” katanya yang kini menjalani penggambaran siri Viu berjudul Putri & Phrince arahan Liyana Jasmay.
Farihin paling bersyukur apabila kini mampu menghulurkan wang kepada keluarganya di kampung dengan pendapatannya sekarang.
Dia juga sebenarnya tidak sangka dan terkejut mendapat gaji pertamanya dulu yang cukup besar jumlahnya.
Menurut Farihin lagi, bapanya juga sudah tidak meminta agar dia pulang ke kampung selepas berjaya membuktikan kejayaan dalam kerjaya.
“Sejujurnya sebelum saya sampai sini saya hanya dapat beri ibu ayah saya RM100 sebulan. Bila sudah sampai sini dan terima tawaran kerjaya pertama buat saya terkejut dengan bayaran yang saya dapat.
“Saya tak pernah dapat tawaran bayaran sebanyak itu dan terus teruja nak kongsi kejayaan itu bersama keluarga. Jadi tiada lagi kata-kata suruh saya pulang selepas setahun,” katanya.
Selain Farihin, drama Viu berjudul Putri & Phrince turut dibintangi oleh Badron Munirah, Adriana Adnan, Nesa Idrus, Farah Nadiah, Adriana Adnan, Nik Rifaie, Khayrisyah Kemal.
© New Straits Times Press (M) Bhd



