Perjalanan Harimau Malaya masih jauh – Cklamovski

Perjalanan Harimau Malaya masih jauh – Cklamovski
Harimau Malaya akhirnya menamatkan kemarau kemenangan ke atas Vietnam selama 11 tahun selepas membelasah pasukan itu 4-0 di SNBJ pada Selasa malam. FOTO: ROSLI TALIB

Harimau Malaya akhirnya menamatkan kemarau kemenangan ke atas Vietnam selama 11 tahun selepas membelasah pasukan itu 4-0 di SNBJ pada Selasa malam. FOTO: ROSLI TALIB

KEMENANGAN bergaya Harimau Malaya menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Selasa sememangnya membuka lembaran baharu buat skuad kebangsaan.

Lebih manis, keputusan itu menamatkan kemarau kemenangan ke atas skuad Naga Emas selama 11 tahun, sekali gus mencetuskan semangat baharu buat barisan pemain negara yang kini dibarisi ramai pemain warisan.

Bagaimanapun, pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski mengingatkan pasukannya supaya tidak terlalu selesa dan terbawa-bawa dengan kemenangan besar itu.

Menurut Cklamovski, meskipun bangga dengan prestasi ditampilkan anak buahnya, beliau menegaskan masih banyak aspek yang perlu diperbaiki dalam usaha membentuk pasukan mantap untuk jangka masa panjang.

“Prestasi malam ini mencerminkan apa yang saya lihat setiap hari. Dari Fasa 1 pada 19 Mei, ke Fasa 2 dan akhirnya ke fasa terakhir.

“Saya melihat satu kumpulan pemain yang komited, lapar untuk membina mentaliti berpasukan yang akan membanggakan rakyat Malaysia.

“Malam ini adalah cerminan kepada perkara itu dan saya sangat bangga dengan pemain-pemain. Kita boleh bermimpi, tetapi kita perlu teruskan. Kita perlu menganalisis perlawanan ini dan kemudian fokus kepada perlawanan seterusnya.

“Kita hanya memperoleh tiga mata malam ini, itu sahaja. Masih banyak kerja yang perlu dilakukan dan banyak lagi langkah yang perlu diambil,” kata Cklamovski dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Malaysia meraih tiga mata berharga ketika menentang lawan terkuat dalam Kumpulan F tersebut hasil jaringan Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, La’Vere Corbin Ong dan Dion Cools di babak kedua perlawanan.

Sasaran terdekat untuk skuad negara iaitu layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi dan kemenangan ke atas Vietnam itu mencerahkan peluang apabila berada di kedudukan teratas dengan baki empat perlawanan yang tinggal.

Selain itu, sasaran atau misi utama revolusi Harimau Malaya adalah untuk menakluki ASEAN dan menjadi antara pasukan gergasi di Asia.

Scroll to Top