Pelajar bunuh ibu, abang disyaki kerana tekanan dipaksa belajar – Polis

Pelajar bunuh ibu, abang disyaki kerana tekanan dipaksa belajar – Polis

Melaka: Tekanan perasaan dan dendam kerana sering dipaksa belajar dipercayai menjadi punca seorang pelajar tingkatan lima membunuh ibu dan abang sulungnya serta mencederakan adik bongsunya di rumah mereka di Bukit Rambai, di sini, hari ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian kira-kira 5 pagi, ibu tunggal berusia 51 tahun dan anak lelaki berumur 21 tahun ditemui di ruang tamu rumah dengan beberapa kesan tikaman.

Katanya, seorang lagi mangsa yang juga adik bongsu suspek berusia 13 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah di garaj rumah.

“Mangsa wanita juga seorang guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan mempunyai tiga anak yang mana suspek adalah anak keduanya.

“Anak sulungnya adalah pelajar sebuah kolej di Melaka dan anak bongsunya yang cedera kini dirawat di Hospital Melaka,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai akibat tekanan perasaan dan dendam kerana suspek sering dipaksa belajar untuk mendapatkan keputusan cemerlang.

“Mungkin ibunya seorang guru dan dia nak anaknya dapat keputusan yang terbaik kerana suspek ini akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

“Jadi dia mungkin selalu dimarahi supaya untuk belajar lebih tekun lagi dan jiran-jiran juga memaklumkan sering dengar pergaduhan di rumah itu,” katanya.

Menurutnya, dalam kejadian itu, suspek dipercayai cuba menyerang ibunya yang berada di bilik tidur sebelum abang mangsa cuba menyelamatkan wanita itu.

“Pergelutan itu menyebabkan kedua-dua mereka maut ditikam manakala suspek dikatakan mengarahkan adik bongsunya keluar dari rumah, namun remaja itu enggan berbuat demikian sebelum turut ditikam.

“Mungkin dia tidak ada apa-apa masalah dengan adik dia dan dia minta adik dia keluar rumah, tapi adiknya tak nak pergi dan dia cuba bunuh adiknya itu.

“Dalam keadaan berlumuran darah, adiknya kemudian sempat lari keluar dari rumah sebelum berjaya diselamatkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, suspek juga cuba menghapuskan barang bukti iaitu pakaian yang dipakai dengan membuangnya ke semak berhampiran dan polis turut menemui pisau lipat dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mangsa yang maut dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Katanya, suspek setakat ini yang didapati tidak berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh, hari ini, untuk mendapatkan permohonan reman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top