am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Tiga kediaman di Taman Serumpun, di sini, dilaporkan mengalami kerosakan di bahagian siling dan halaman akibat kejadian letupan dipercayai angkara mercun, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima maklumat jam 1.05 pagi daripada orang awam yang terdengar bunyi letupan kuat sehingga merosakkan tiga rumah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesan letupan disyaki daripada mercun yang dibaling ke dalam salah sebuah rumah dan impaknya menyebabkan dua kediaman bersebelahan turut mengalami kerosakan.
“Ketiga-tiga rumah didapati mengalami kerosakan pada bahagian siling dan halaman termasuk kenderaan yang diparkir di hadapan kediaman.
“Punca kejadian ini dipercayai kerana hutang dan dikatakan terdapat dua suspek menaiki sebuah kereta (terbabit dalam insiden ini) yang mana usaha memburu mereka sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Helmi berkata, pihaknya memohon saksi awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk memberi keterangan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Assan Alimudin di talian 012-4418081.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

