KL City sekat kebangkitan JDT

KL City sekat kebangkitan JDT

zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) tercicir mata lagi selepas terikat 1-1 dengan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di sini, sebentar tadi.

Dalam aksi malam tadi, JDT terlebih dahulu menguji kubu tuan rumah menerusi beberapa percubaan terutama rembatan deras daripada Leandro Velazquez yang menggegar tiang gol pada minit ke-16.

Ketika anak buah Benjamin Mora dilihat lebih menguasai permainan, sebaliknya KL City membuat kejutan apabila Romel Morales meledak gol pembukaan pada masa kecederaan babak pertama selepas menyudahkan hantaran Fakrul Aiman Sidid.

Namun, JDT berjaya menyamakan kedudukan selepas 10 minit babak kedua bersambung menerusi Hariss Harun yang menanduk masuk bola sepakan sudut Nazmi Faiz Mansor dan keputusan 1-1 kekal hingga tamat permainan.

JDT yang tewas 0-1 di tangan Terengganu FC (TFC), Sabtu lalu bagaimanapun kekal di puncak liga dengan 24 mata, namun hanya dibezakan satu mata dari pasukan tangga kedua, Kedah.

KL City pula di tangga ketujuh dengan mengumpul 13 mata selepas mengharungi 11 perlawanan musim ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top