hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai mengesahkan bahawa tiada warganegara Malaysia terbabit dalam nahas tragik penerbangan Air India AI171 ke London Gatwick yang terhempas sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Kementerian Luar Negeri berdukacita dengan insiden nahas tragik berkenaan.
“Pesawat berkenaan dilaporkan terhempas ke atas kompleks asrama kolej perubatan, mengakibatkan kemalangan jiwa yang besar.
“Kementerian Luar Negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, mereka yang terselamat, serta seluruh rakyat India, United Kingdom (UK), Portugal dan Kanada di atas tragedi ini. Doa kami mengiringi mangsa, keluarga mereka, serta semua yang terkesan dalam kejadian ini,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral di Mumbai sedang memantau rapat perkembangan situasi dan akan mengeluarkan makluman lanjut sekiranya perlu.
Warganegara Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai di Unit 12A1, Unit 12A2 & Unit 12A3, Tingkat 13, Supreme Headquarters Building, Jalan 14 & 33, berdekatan Link Square Mall, Bandra West, 400 050 Maharashtra, India atau telefon: +91 22 6996 5757 (pertanyaan am) atau emel mwmumbai@kln.gov.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd