HATI seorang ibu pasti luluh melihat anak hanya diam memandang, walau hatinya begitu menginginkan seketul ayam goreng KFC.
Detik itu tersemat dalam ingatan Norlelawati Bahari, yang suatu ketika dahulu bergelut sebagai asnaf demi membesarkan anak angkatnya, Nurien Syafiqah Norazlan.
Penerima Anugerah Tan Sri Syed Anwar Jamalullail Asnaf Bestari 2022, Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu berjaya keluar daripada kepompong asnaf dalam masa hanya dua tahun setengah.
Hari ini, beliau merupakan pengusaha roti di bawah jenama Roti CikGebu.

NORLELAWATI -Foto: IHSAN NORLELAWATI BAHARI
Norlelawati, 44, yang juga Pengurus Sunshine Bakery Enterprise, memulakan perniagaan kecil-kecilan sekitar tahun 2015 ketika masih berkhidmat sebagai guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Namun, beberapa tahun kemudian, beliau melepaskan kerjayanya sebagai pendidik bagi memberi tumpuan kepada perniagaannya disebabkan kekangan masa.
Mengimbas kembali kisah keperitannya, beliau pada masa itu bergelar ibu tunggal dan menanggung seorang anak angkat.
Mereka berteduh di rumah ibunya, Sabariah Ali, 68, di Klang, Selangor.
“Saya cuma mampu tengok orang beli KFC. Anak pula diam, dia tak minta tapi saya tahu dia nak. Saya tunduk saja, sedih itu hanya ALLAH yang tahu,” katanya ketika ditemui Sinar Islam Plus.
Lebih memeritkan, beliau turut berdepan pandangan sinis daripada keluarga sendiri.
“Mereka kata, saya menyusahkan mak, tapi saya memang tiada sesiapa waktu itu. Doa mak saja yang jadi kekuatan saya,” katanya sebak.
Bukan sekadar tempat berteduh, ibunya turut menjadi tulang belakang, penasihat dan penyokong setianya.
“Mak tak pernah marah bila saya gagal. Dia temankan saya ke kursus, doakan saya, bantu sedekahkan roti.
“Dia selalu pesan, ‘Kalau niat kamu betul, ALLAH akan tolong’,” ceritanya.

NORLELAWATI (depan, kanan) bukan sahaja berjaya dalam bidang keusahawanan yang diceburinya, tetapi turut menjadi tenaga pengajar bertauliah untuk menyebarkan manfaat yang diterimanya sebelum ini kepada orang lain. -Foto: IHSAN NORLELAWATI BAHARI
Akui Norlelawati, dirinya pernah berasa malu untuk memohon bantuan zakat sebelum permohonannya sebagai asnaf diluluskan pada tahun 2020.
“Saya sangat malu nak mohon jadi asnaf. Apatah lagi saya bekas guru KAFA.
“Dalam hati kata, (bekas) cikgu agama pun nak minta bantuan? Tapi bila fikir balik, saya memang betul-betul perlukan pertolongan,” jelasnya jujur dan terpaksa mengetepikan segala perasaan itu demi anak dan masa depannya.
Kisah roti dan sedekah
Menceritakan lanjut, perniagaan rotinya bermula selepas menyertai satu seminar keusahawanan. Bermodalkan RM500, beliau mula menyedekahkan roti kepada jiran, masjid dan kantin sekolah.
“Mak pesan jangan jual dulu. Sedekah dulu, tanya orang sedap atau tidak.
“Selepas itu barulah tempahan mula masuk. Alhamdulillah, dalam sebulan, saya dapat RM3,800 hanya daripada membuat dan menjual roti,” katanya.

SELAIN memiliki perusahaan roti sendiri di bawah jenama Roti CikGebu, Norlelawati aktif menjadi tenaga pengajar kelas roti di seluruh negara. -Foto: IHSAN NORLELAWATI BAHARI
Sokongan daripada LZS, SME Bank dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) termasuk bimbingan kursus keusahawanan, geran peralatan serta kelengkapan membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran dan jaringan perniagaannya.
Kini, Sunshine Bakery Enterprise menerima tempahan dari pelbagai institusi dan majlis.
Paling menggembirakan, beliau berpeluang membayar zakat perniagaan buat pertama kali pada tahun 2022.
“Saya bayar RM100. Waktu turun tangga pejabat zakat, saya terus dapat tempahan 1,000 pek roti mini, walhal saya hanya bayar RM100 saja.
“Benarlah, kalau kita jaga ALLAH, DIA akan jaga kita,” kata beliau yang menamatkan status ibu tunggalnya apabila mendirikan rumah tangga empat tahun lalu.
Sejak itu, beliau memilih untuk membayar zakat secara bersemuka di kaunter agar dapat merasai sendiri doa amil.
“Saya memang tak suka bayar dalam talian. Saya nak dengar sendiri amil baca doa. Tak kisah jumlahnya, tapi mereka betul-betul doakan. Saya tak pernah tak menangis setiap kali dengar doa itu,” ujarnya.
Kongsi rezeki
Bagi Norlelawati, kejayaan bukan untuk diri sendiri sahaja. Beliau kini membuka peluang kerja sambilan kepada pelajar miskin dan golongan memerlukan.

NORLELAWATI turut menjadi tenaga pengajar kelas roti di merata tempat demi menyebarluaskan kemahiran dimiliki supaya lebih ramai yang menerima manfaatnya. -Foto: IHSAN NORLELAWATI BAHARI
“Saya pergi ke sekolah anak, jumpa cikgu kaunseling. Tanyalah kalau ada pelajar susah nak cari duit.
“Saya upah mereka cuci dulang, potong sosej dan sebagainya. Apa yang penting mereka belajar sesuatu,” jelasnya.
Kini, beliau turut menjadi ikon keusahawanan dan tenaga pengajar bertauliah untuk agensi seperti LZS, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.
Kepada mereka yang sedang bergelut dalam hidup, Norlelawati menitipkan nasihat penuh bernilai:
“Saya tahu betapa susahnya tiada duit dan peritnya jadi ibu tunggal. Jadi bila kita sudah dibantu dan rasa boleh bangun sendiri, keluarlah daripada kumpulan asnaf.
“Berilah peluang kepada orang lain (untuk dibantu) sebab bila kita ambil hak orang, ALLAH akan sekat segala rezeki yang masuk. Ingatlah, bila kita usaha, yakinlah ALLAH akan gantikan lebih daripada apa yang kita sangka,” titipnya.