Syamel, Ernie kena kental berdepan ujian – Ziana

Syamel, Ernie kena kental berdepan ujian – Ziana

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi popular Ziana dan Anuar Zain menasihatkan anak buah mereka, pasangan suami isteri, Syamel dan Ernie Zakri agar kental berdepan ujian dalam karier.

Ziana yang dipanggil Mak Long dalam keluarga berkata, Ernie sudah nampak perjalanan mereka dan dia juga sudah melalui perjalanannya serta susah senang dalam karier.

“Susah senang hadapi dunia ini saya rasa dia dah tahu. Kerana hari demi hari pengalaman dia bertambah. Setiap hari dia akan jumpa orang berbeza.

“Dia sendiri akan tahu macamana nak bawa diri ke arah yang lebih hadapan. Walau apapun orang cakap pasal kita, kita senyum saja. Cakaplah alhamdulillah.

“Kita berhak untuk marah, kita berhak untuk lepaskan kemarahan tapi pada saat akhirnya kita bangkit. Insya-Allah dia akan jadi pengalaman yang tak membebankan lagi,” katanya ditemui pada sidang media Empat Live In Kuala Lumpur 2025 di sebuah hotel terkenal, di sini, semalam.

Anuar yang diberi gelaran Pak Ngah pula menasihatkan Ernie agar jangan membaca komen netizen yang berbentuk negatif.

“Mereka memang selamba main cakap saja. Saya pernah temankan kak Gee untuk satu persembahan. Nama saya tiada langsung dalam senarai persembahan.

“Tadi ada juga orang sebelah selamba cakap, kesian Anuar Zain tu kan, nak menyanyi balik sampai kena menempel kat kakak dia. Macam itu sekali dia cakap.

“Saya dengar saya senyum saja. Saya fikir mulut orang tu kita jangan dengar. Rezeki orang kita tak tahu. Dalam internet orang cakap macam-macam. Tak payah layan dan skip sahaja,” katanya.

Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 yang akan menampilkan persembahan Ziana, Anuar, Ernie dan Syamel akan berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 18 Oktober depan..

Ia dibawakan Anuar Zain Network dengan kerjasama AltusProHouse dengan Sze Wan bertindak sebagai Pengarah Muzik dan Jennifer Thompson sebagai Pengarah Konsert.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top