Saya percaya kawan-kawan tahu niat saya – Shahidan

Saya percaya kawan-kawan tahu niat saya – Shahidan

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya percaya kawan-kawan tahu niat saya dan usaha baik saya. Mereka akan bagi sokongan. Kalau mereka nak bagi sokongan pada mana-mana pihak, boleh (juga) berbuat demikian.”

Demikian luahan Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Seri Shahidan Kassim menjelang pemilihan pucuk pimpinan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu, Ahad ini.

Jelas Shahidan, beliau tidak gemar untuk menabur sebarang janji selain memberi bayangan untuk terus mengekalkan sifat keterbukaan dalam kepimpinannya sepertimana yang sudah diaplikasikan sebelum ini.

“Semua jawatankuasa saya beri hak dan kebebasan bertindak. Tapi kalau ada yang berkata ‘ini kesalahan presiden’, tak (betul). Semua ditentukan oleh pihak jawatankuasa.

“Kalau sekiranya ada berlaku apa-apa (isu), masing-masing kena ambil tanggungjawab. Saya bukan tidak mahu ambil tanggungjawab…nak ambil tanggungjawab macam mana kalau mereka semua sudah diberi kuasa…bertindaklah dengan baik,” katanya.

Shahidan berkata, beliau bukanlah seorang pemimpin yang hanya meletakkan kesalahan di bahu orang lain.

“Bila sesuatu perkara tak betul berlaku, kita tak boleh salahkan orang, salahkan diri kita dahulu, kemudian baru boleh tuju kepada orang lain. Kalau semua orang salah, dan seolah kita ‘perfect’, itu tak betul,” katanya.

Shahidan berdepan saingan empat penjuru dalam usaha mempertahankan jawatannya pada pemilihan Ahad ini selepas beliau turut dicabar timbalan presiden sedia ada, Datuk Mark William Ling Lee Meng; Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP), Datuk Karim Ibrahim serta Presiden Olahraga Amatur Terengganu (POAT), Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Shahidan tampil sebagai calon pilihan selepas meraih empat pencalonan daripada ahli gabungan, manakala Mark Ling yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatuhan dan Latihan MA, mengutip dua pencalonan sementara Karim serta Wan Hisham masing-masing menerima satu pencalonan.

Sementara itu, persaingan bagi jawatan timbalan presiden juga tidak kurang hebatnya apabila lima individu menawarkan diri untuk merebut satu-satunya kerusi yang dipertandingkan.

Calon yang mengesahkan pencalonan ialah Datuk R Annamalai, Karim, Sallehudin Safar, Wan Hisham dan Mohamat Hassan.

Untuk kerusi naib presiden pula, sembilan calon menawarkan diri bagi merebut empat jawatan yang ditawarkan.

Setiap calon boleh bertanding lebih daripada satu jawatan, namun mereka perlu memilih satu jawatan sahaja pada hari pertandingan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top