am@hmetro.com.my
Sintok: Tabung Kilat Kemalangan anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) mengumpul lebih RM290,000 selepas empat hari ia dilancarkan.
Jumlah itu terkumpul hasil sumbangan 18,927 penyumbang untuk membantu mangsa nahas bas membabitkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Yang Dipertua MPP UUM Mohamad Amar Aidid Mohd Zain berkata, tabung itu mengutip RM290,651.51 apabila ia ditutup sepenuhnya, jam 12 tengah hari tadi.
“Ini bukan sekadar angka. Di sebalik setiap ringgit itu, ada doa, air mata dan harapan rakyat Malaysia buat mangsa dan keluarga mereka.
“Penyerahan rasmi dana itu akan dilakukan dalam masa terdekat kepada MPP UPSI sebelum ia diagih kepada penerimanya,” katanya. Menurut Mohamad Amar, pihaknya turut merancang untuk menyalurkan bantuan kepada keluarga mangsa yang menaiki Perodua Alza yang turut terbabit dalam nahas berkenaan.
“Semoga setiap sen yang disumbang menjadi pahala yang mengalir dan sumber kekuatan kepada mereka yang kehilangan. Terima kasih Malaysia, anda semua luar biasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




