khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hari pertama penganjuran Karnival Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 mendapat sambutan menggalakkan pengunjung terutamanya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Tinjauan Harian Metro mendapati, pelajar IPT tidak melepaskan peluang mengenali lebih rapat agensi media yang menyertai Karnival HAWANA 2025 di ruang legar Sunway Putra Mall.
Perkara ini diakui oleh Pensyarah Komunikasi, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) Kuala Lumpur, Muhammad Fadzil Ahmad Shukor dengan menyatakan beliau membawa seramai 15 orang pelajar Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat ke reruai agensi media yang ada.
“Kalau daripada pelajar saya sendiri mereka ada belajar subjek kewartawanan, komunikasi korporat atau berkaitan media.
“Pada saya, ini merupakan peluang mereka untuk mengenali agensi media yang ada.
“Selama ini mereka hanya tengok dan lihat, tetapi dengan adanya karnival pada hari ini memberikan peluang kepada mereka mengenali lebih rapat,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Muhammad Fadzil berkata, menerusi Karnival HAWANA ini juga, ia platform terbaik khususnya agensi media sedia ada untuk mendekati masyarakat.
Dalam pada itu, beliau bersama pelajarnya turut mengunjungi reruai New Straits Times Press (NSTP), dengan menyatakan mereka memperoleh maklumat serta informasi terkini tentang tiga akhbar terbitan syarikat itu.
“Apabila pelajar pergi ke reruai NSTP, wakil NSTP boleh menerangkan lebih lanjut tentang kepentingan dan sejarah NSTP itu sendiri,” katanya.
Beliau berharap, penganjuran Karnival HAWANA ini akan diteruskan pada masa hadapan.
“Untuk lokasi pula pada pendapat saya, kalau di Kuala Lumpur mesti kena buat sebab di sini adalah pusat dan komuniti di sini lebih ramai.
“Tapi kalau dapat pergi ke negeri lain, pada saya itu merupakan inisiatif terbaik sebenarnya sebab kita boleh menyantuni golongan atau mereka yang berada di kawasan pedalaman, luar bandar atau di bandar jauh jauh dari Kuala Lumpur,” katanya.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat UPTM Kuala Lumpur, Nurfarahin Aiza Abdul Azizi, 23, pula menyatakan dengan penganjuran Karnival HAWANA ini membolehkan mereka mengetahui mengenai media di Malaysia.
“Kami rasa pelajar universiti ini memang sepatutnya dapat pendedahan seperti ini dan seharusnya datang bagi mendapatkan maklumat.
“Apabila kita datang ke sini, kita boleh tahu perkembangan terkini mengenai agensi media dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, menerusi penganjuran Karnival HAWANA ini juga membolehkan pelajar sepertinya bertanyakan mengenai peluang untuk mendapatkan latihan industri dan pekerjaan di agensi media di negara ini.
Sambutan HAWANA 2025 bertemakan ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’ membuka tirai secara rasmi hari ini.
Dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, sambutan HAWANA 2025 yang berlangsung selama tiga hari hingga Ahad dimulakan dengan Karnival HAWANA di ruang legar Sunway Putra Mall bermula 10 pagi hingga 10 malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




