Pemandu bas mengaku tidak bersalah sebabkan kematian 15 pelajar UPSI

Pemandu bas mengaku tidak bersalah sebabkan kematian 15 pelajar UPSI

GERIK: Pemandu bas persiaran yang memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Isnin lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd. Amirul Fadhil Zulkifli, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas 15 pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa memandu bas secara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian kepada Fakhrul Arif Rosdi, 20; Mohammad Aqil Taqiuddin Mohd. Sofian, 21; Nik Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21; Nurul Fatihah Abu Setaman, 22, dan Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21.

Turut terkorban dalam nahas itu Sufea Adela Maslihaizan, 21; Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21; Nur Dalila Farhana Mohamed Isma, 21; Nurly Sahirah Azman, 23; Fatin Nasrien Fadli, 22; Muhammad Mustaqim Rosde, 21; Anis Soffiyya Md Zaidi, 20; Nor Ayuni Maslan, 21; Muhammad Adib Hazim Halim, 21, and Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 53, JRTB Gerik-Jeli pada pukul 1.15 pagi, 9 Jun 2025.

Pendakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000.

Tertuduh juga boleh hilang kelayakan daripada memegang dan mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak lebih lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, tertuduh turut tidak mengaku bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara berbahaya di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Pertuduhan mengikut seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Muhammad Zaki Abdul Kudos dan Timbalan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Moganaraj Mithra.

Terdahulu, Nasrul Hadi mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan dan sebarang dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Beliau juga mencadangkan semua kelas lesen memandu lelaki terbabit digantung selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, lelaki itu yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap dengan pendapatan antara RM1,500 hingga RM1,800 selain mempunyai tanggungan seorang isteri dan tiga anak.

Muhammad Firdaus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM19,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

Tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam ditetapkan pada 14 Julai 2025. – UTUSAN

Scroll to Top