10Star Cinemas sokong filem tempatan

10Star Cinemas sokong filem tempatan

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pengendali rangkaian pawagam, 10Star Cinemas akan memperuntukkan sebuah dewan di pawagan yang akan dibuka untuk menayangkan filem tempatan sahaja di pusat membeli-belah Hextar World Empire City.

Ketua Pegawai Eksekutif, 10Star Cinemas, Onn Norshal Hamzah berkata, inisiatif itu adalah satu bentuk sokongan untuk memajukan filem tempatan.

“Daripada lapan dewan yang ada, kami akan memperuntukkan satu dewan untuk menayangkan filem tempatan. Ia adalah inisiatif kita untuk menyokong industri perfileman tanah air.

“Usaha ini adalah cetusan idea daripada Pengerusi Eksekutif MAA Group Berhad, Tunku Datuk Yaacoob Khayra. Sistem kita juga tidak sama dengan Syarat Wajib Tayang yang menetapkan tempoh 14 hari tayangan di pawagam terbesar.

“Jika dalam tempoh itu tidak ada filem tempatan baru yang keluar atau belum masuk, kita akan tayangkan filem sedia ada atau tayang semula filem-filem lama,” katanya ketika ditemui pada Memorandum Persefahaman (MoU) Hextar World dan 10Star Cinemas di Damansara di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Hextar Group, Datuk Eddie Ong dan Pengarah filem Impak Maksima 2, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Pada masa sama, kata Onn Norshal lagi, pihaknya akan mengambil mana-mana filem festival untuk ditayangkan di pawagam itu nanti.

“Kami di 10star Cinemas juga mewujudkan satu budaya baharu. Sekarang kita lihat, banyak filem tempatan yang mendapat sambutan dan kepercayaan khalayak kepada filem tempatan semakin meningkat. Contohnya, seperti tahun lalu, filem Mat Kilau, Sheriff dan tahun ini, Blood Brothers : Bara Naga.

“Ini menunjukkan filem tempatan kita memang berpotensi untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Sementara itu, Onn Norshal berkata, pihak 10Star Cinemas juga akan mengedarkan filem Impak Maksima 2 sekali gus menjadi pawagam tempatan pertama yang mengedarkan filem lokal.

“Filem itu dipilih kerana kita tahu naskhah terdahulu mendapat sambutan hangat ketika ditayangkan pada 2007,” katanya.

Terdahulu, projek pembinaan pawagam ini membabitkan bajet sebanyak RM30 juta yang boleh memuatkan kapasiti 1,500 penonton pada satu masa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top