Ahmad Idham anggap filem Impak Maksima 2 penentu masa depan

Ahmad Idham anggap filem Impak Maksima 2 penentu masa depan

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pengarah terkenal, Dr Ahmad Idham, 54, menyifatkan filem Impak Maksima 2 akan menjadi penentu sama ada dia masih relevan dalam industri perfileman tanah air ataupun sebaliknya.

Ahmad Idham atau nama sebenarnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, filem terbaharunya itu juga menjadi pertaruhan terbesar untuk meneruskan kariernya sebagai pengarah.

“Bagi saya filem Impak Maksima 2 ini adalah karya yang paling kritikal untuk menentukan masa depan dalam industri perfileman.

“Sebelum ini, kutipan beberapa filem dihasilkan gagal dan kalau filem dihasilkan gagal lagi, siapa yang nak melabur duit?

“Saya tak rasa akan ada pelabur yang mahu memberikan peluang itu lagi kerana ia menunjukkan bahawa saya sudah tidak relevan dalam industri. Filem ini mungkin menjadi penentu nasib atau saya kena fikir kerjaya lain selepas ini,” katanya ketika ditemui pada majlis Memorandum Persefahaman (MoU) Hextar World dan 10Star Cinemas yang berlangsung di Damansara, di sini, semalam.

Mengenai filem Impak Maksima 2, Ahmad Idham mengakui dia berasa bimbang memikirkan masa depannya dalam industri perfileman sekiranya filem itu gagal di pawagam.

Katanya, dia juga reda untuk menerima sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

“Memanglah bimbang, siapa yang tidak risau. Tetapi kita perlu menerima kenyataan kerjaya sebagai anak seni memang sebegitu.

“Sebab itu saya sentiasa berpesan kepada artis lain, bila kita menjejakkan kaki dalam industri seni, kita sudah kena fikir apa langkah seterusnya.

“Ini yang berlaku pada kebanyakan artis ‘senior’ dulu di mana tiada siapa yang peduli tentang nasib mereka,” katanya.

Bagaimanapun, kata Ahmad Idham, dia sentiasa berfikiran realistik kerana menganggap kerjaya anak seni itu pasti ada penghujungnya.

“Saya percaya dalam hidup ini satu masa nanti kerjaya kita akan berakhir tetapi bagaimana cara kita pastikan untuk dapat bertahan lebih lama?,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top