MELAKA: Pembayaran sagu hati cuti bersalin kepada guru-guru di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) diteruskan sehingga tahun depan sebagai penghargaan terhadap sumbangan besar golongan pendidik dalam membangunkan modal insan negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, setiap guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta Tadika JAIM yang mengambil cuti bersalin akan menerima bayaran sagu hati sebanyak RM1,600 walaupun tidak layak mendapat elaun tetap semasa cuti tersebut.
“Ia adalah pengiktirafan kepada guru-guru wanita yang tetap komited dalam mendidik anak bangsa meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk tempoh kehamilan dan bersalin.
“Peruntukan sebanyak RM200,000 telah disediakan oleh kerajaan negeri bagi tujuan ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru JAIM 2025 di Bukit Katil di sini, semalam.
Ab. Rauf turut mengumumkan peruntukan lebih RM300,000 bagi pembangunan profesionalisme guru KAFA dan Tadika JAIM dalam memperkasa kualiti pengajaran dan perkhidmatan pendidikan Islam.
“Tugas sebagai guru bukan mudah, ada antara mereka diuji dengan kesihatan dan kesukaran hidup, namun masih gagah ke sekolah seperti biasa, itulah kekuatan sebenar seorang guru.
“Pendidikan Islam adalah pelaburan jangka panjang, kita mahu lahirkan generasi ulul albab yang cemerlang bukan sahaja dari segi ilmu tetapi juga sahsiah dan cinta kepada agama, bangsa dan negara,” jelasnya. – UTUSAN