RINGGIT diunjur diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan apabila pelabur kekal berhati-hati terhadap kebimbangan inflasi global ketika ini, kata penganalisis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka bergerak dalam jajaran antara 4.22 hingga 4.24 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata, pasaran akan memberi tumpuan terhadap mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) yang dijadualkan pada 17 hingga 18 Jun.
“Tumpuan itu membabitkan unjuran suku tahunan oleh pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed), khususnya prospek mengenai Kadar Dana Persekutuan bagi tempoh berbaki tahun ini,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, selain Fed, beberapa bank pusat lain turut dijadual bermesyuarat minggu depan, termasuk Bank of England, Bank of Japan, People’s Bank of China, manakala di peringkat ASEAN melibatkan Bank Indonesia dan Bangko Sentral ng Pilipinas.
Secara umumnya, katanya, kadar faedah global dilihat lebih cenderung ke arah penurunan susulan prospek pertumbuhan ekonomi yang semakin mencabar akibat kejutan berkaitan tarif.
Pada masa sama, serangan Israel ke atas kemudahan nuklear Iran pada awal Jumaat turut menyebabkan kenaikan mendadak harga minyak mentah Brent ke paras tertinggi AS$78.22 setong sebelum menyusut kepada sekitar AS$73.56 setong.
Sementara itu, Indeks Dolar AS menokok sebanyak 0.31 peratus kepada 98.228 mata.
“Berikutan itu, elemen geopolitik menjadi tumpuan utama pada Jumaat yang memberi manfaat kepada dolar AS ketika ini,” katanya.
Beberapa laporan turut mengunjurkan bahawa konflik ketenteraan langsung antara Israel dan Iran boleh mencetuskan pengukuhan ketara terhadap dolar AS.
Sebarang tindak balas Fed terhadap perkembangan tersebut, terutama berkaitan kadar faedah, dilihat sebagai faktor penting dalam menentukan hala tuju dolar AS dalam masa terdekat.
Bagi minggu berakhir, ringgit menamatkan pengukuhan awalnya apabila peningkatan kebimbangan geopolitik meningkatkan permintaan terhadap dolar AS sebagai aset selamat.
Ringgit menutup urus niaga minggu ini dengan lebih rendah berbanding dolar AS pada paras 4.2435/2480 pada Jumaat, berbanding 4.2270/2360 pada minggu sebelumnya.
Mata wang tempatan itu turut diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ini termasuk penyusutan berbanding yen Jepun kepada 2.9448/9482 daripada 2.9324/9390 pada Jumaat sebelumnya; rendah berbanding pound Britain kepada 5.7482/7543 daripada 5.7212/7334; dan turun berbanding euro kepada 4.8906/8958 daripada 4.8268/8371.
Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN, termasuk susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3077/3118 daripada 3.2862/2934 minggu sebelumnya.
Berbanding rupiah Indonesia, ringgit susut kepada 260.2/260.6 daripada 259.5/260.2, dan rendah berbanding baht Thailand kepada 13.0807/1018 daripada 12.9599/9947, minggu lalu.
Namun, ringgit kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada paras 7.55/7.56. – Bernama