am@hmetro.com.my
Padang Terap: Datuk Seri Johari Abdul Ghani gembira dan berpuas hati menerajui Kementerian Perladangan dan Komoditi ketika ini, meskipun namanya disebut-sebut antara calon yang berpotensi mengisi kekosongan jawatan Menteri Ekonomi sekiranya berlaku rombakan kabinet.
Naib Presiden UMNO itu berkata, kementerian berkenaan mempunyai peranan besar dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, khususnya dalam menjana pendapatan masyarakat luar bandar dan meningkatkan hasil eksport menerusi pelbagai produk komoditi utama negara.
“Itu bukan hak saya. Saya gembira di Kementerian Perladangan dan Komoditi.
“Ini antara kementerian yang juga boleh menabur bakti kepada masyarakat luar bandar dan kita boleh menabur bakti kepada pemain industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka, di sini hari ini.
Mengulas spekulasi pelantikannya sebagai Menteri Ekonomi susulan laporan media sebelum ini, Johari mengambil pendekatan terbuka dan menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, apa juga keputusan berkaitan penyusunan Kabinet adalah hak mutlak Perdana Menteri dan setiap menteri seharusnya memberi tumpuan penuh kepada tugas sedia ada demi menjamin kesinambungan dan kestabilan pentadbiran.
“Semua orang boleh ada pandangan atau keinginan, tapi soal jawatan bukan di tangan kita. Apa yang penting, kerajaan hari ini stabil dan harmoni, jadi kita teruskan kerja dan beri tumpuan kepada amanah masing-masing,” katanya.
Johari turut merakamkan penghargaan terhadap usaha kerajaan terdahulu, khususnya pentadbiran Barisan Nasional, dalam membangunkan sektor komoditi negara secara berfasa dan tersusun.
Katanya, kementerian akan terus memperkukuh dasar-dasar sedia ada serta melaksanakan penambahbaikan demi memastikan sumbangan sektor komoditi kepada ekonomi kekal mampan dalam jangka panjang.
Johari berkata, sektor seperti kelapa sawit, koko dan getah kekal relevan dan strategik dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara sekiranya dipacu dengan dasar yang tepat dan pelaksanaan berkesan.
“Contohnya, kelapa sawit sahaja mencatat nilai eksport RM114 bilion tahun lalu, menjadikan Malaysia pengeluar kedua terbesar dunia. Koko pula walaupun kita bukan pengeluar utama, kita berjaya manfaatkan aspek pemprosesan dan nilai tambah hingga capai eksport RM15 bilion.
“Industri getah juga menunjukkan kejayaan hasil pelaburan puluhan tahun dalam penyelidikan dan pembangunan. Malaysia kini antara pengeksport getah terbesar dunia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd