SEPANG: Kumpulan pertama 283 jemaah haji Malaysia bagi musim 1446H/2025M selamat tiba di tanah air kira-kira pukul 8.50 malam tadi.
Kumpulan yang terdiri daripada jemaah Kedah dan Selangor itu berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada hari yang sama pukul 5.40 pagi (waktu Arab Saudi) melalui pesawat MH8251.
Ketibaan mereka disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bersama Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines bagi membawa kesemua 31,600 jemaah haji pulang ke tanah air bermula hari ini dan penerbangan terakhir dijadualkan pada 10 Julai depan.
Setakat hari ini, seramai 14 jemaah haji negara, iaitu sembilan lelaki dan lima perempuan berusia antara 47 hingga 78 tahun, meninggal dunia di Tanah Suci dengan kebanyakan mereka terkena serangan jantung.
Sementara itu, Mohd Na’im ketika ditemui berkata, dengan kembalinya rombongan jemaah haji yang pertama ini menandakan bermulanya fasa kedua iaitu kepulangan jemaah haji ke tanah air.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada yang TH yang telah bekerja keras memastikan perjalanan haji bagi musim ini,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, program Safari Wukuf yang dikendalikan TH juga berjaya menyantuni 95 jemaah haji yang uzur untuk berwukuf di Arafah.
“Sebanyak 10 kenderaan ataupun bas yang diubah seolah-olah macam hospital disediakan bagi membolehkan jemaah-jemaah yang uzur ini untuk dibawa dan berada di Arafah untuk berwukuf bagi tempoh dua jam di sana,” katanya. – UTUSAN