mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Akses lebih luas dan penyamaran menggunakan platform digital menjadi taktik sindiket penyeludupan migran menawarkan khidmat masuk dan keluar menerusi pelbagai akaun media sosial.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan melalui iklan di media sosial berikutan capaian meluas dan penyamaran yang mudah di platform digital.
Menurutnya, pada Februari dan Mac lalu, Bahagian D3 melancarkan Op Khas bagi membanteras sindiket penyeludupan migran yang menggunakan media sosial.
“Sebanyak enam serbuan berasingan dijalankan di kawasan Lembah Klang.
“Hasil dari operasi dijalankan seramai 146 migran warga Indonesia ditangkap selain penahanan 24 orang kerana menjalankan aktiviti penyeludupan migran dan berperanan sebagai penjaga rumah transit, merekrut, tekong darat, tekong laut dan transporter,” katanya hari ini.
Soffian berkata, sindiket akan menggunakan rumah penampungan sebagai tempat transit kepada migran yang hendak keluar atau masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.
“Tekong darat (transporter) akan menguruskan perjalanan migran dari rumah penampungan sehingga sampai ke persisiran pantai.
“Laluan yang dipercayai sering menjadi ‘pilihan’ sindiket untuk keluar bawa masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin kebanyakannya di perairan Selangor,” katanya.
Beliau berkata, bayaran yang dikenakan untuk masuk atau keluar ke Malaysia adalah antara RM1,300 hingga RM2,500 seorang.
“Kita juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mendapatkan butiran pemilik akaun terbabit.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan bahawa tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam jenayah penyeludupan migran, demi memastikan keselamatan negara terus terpelihara dan undang-undang dihormati,” katanya.
Katanya, tindakan tegas tanpa tolak ansur akan diambil terhadap individu atau sindiket yang terbabit dalam penyeludupan migran.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670),” katanya.
Baru-baru ini tular di media sosial beberapa video memaparkan tawaran aktiviti membawa masuk dan keluar beberapa warga asing melalui laluan laut secara tidak sah.
© New Straits Times Press (M) Bhd